Sep 6, 2018

kau memang sentiasa dengki kan,

ujar Abu kepada angin yang sedang menyapa api lighternya (tiada siapa tahu bila ia bermula, tapi lama sangat dah angin punya habit memadamkan api lighter, lebih-lebih lagi yang mahu ditawarkan kepada gadis. Dah macam skim jahat seorang villen super pula). Semua orang tahu angin memang keji namun kali ini dia tiada kena mengena. Semalam lain, itu memang terang-terang dia yang busuk hati. Hari ini tawaran api Abu digagalkan dek obsesi si gadis biasa pada karekter dengan nama yang sehambar Augustus Waters. Kedua-dua api, pada masa yang sama pula tu. Haram punya Augustus.

Aug 30, 2018

nasi minyak puding raja, santap bersama raja seharian cuma

Ambilkan itu untuk saya, ujarnya merujuk pada cirit bintang yang baru terjun di ufuk sana. Saya mahu kalungkan ke leher, sambungnya lagi. Dia baru lepas baca Stardust. Aku mengangguk bukan sebab aku sanggup buat apa sahaja untuknya, tapi kalaulah dia habiskan buku tu, dia akan tahu yang jatuh itu sesuatu yang lain; bukan bintang, bukan ciritan, apatah lagi bintang yang keciritan. Aku sangat-sangat berharap sesuatu yang lain itu adalah kebahagiaan. Atau yang miripnya, macam PS4. Aku sudah lemas dalam perhubungan ini. Aku perlukan eskapism. Kemudian dengan berbekalkan sekaki payung kerana sekarang musim tengkujuh aku pun bertolak, dengan ditemani saidkikku yang paling setia, iaitu kepala Brandon Boyd.

Selepas berjalan dekat dua blok, aku ditegur oleh Bartholomew, yang masih depres dan punya kecenderungan membunuh diri. Hei mahu ke mana? tanya Bart. Aku terangkan apa yang berlaku, sedikit sebanyak. Tanpa diduga, Bart mahu ikut sekali. Tapi bagaimana dengan tugas harian kau, aku bertanya. Usah khawatir, jawab Bart. Dalam musim tengkujuh ada banyak loophole pada kitaran alam. Percayalah, hatta kehilangan jisim terbesar di sistem suria ini pun takkan ada orang yang akan perasan. Masing-masing dibeban bagasi sendiri. Walaupun sentiasa mendongak ke langit, tiada yang punya masa untuk betul-betul melihat. Terang Bart dengan panjang lebar.

Aku perkenalkan Brandon pada Bart. Brandon telah menjadi tanggungan aku selepas aku memisahkan kepalanya daripada badan beberapa bulan lepas. Aci lah, untuk selamatkan dunia paralel segenap dimensi kot. Dia patut berbangga, bukan mengada. Sampai ke hari ini badannya masih tidak ditemui jadi akulah yang terpaksa menjadi kaki dan tangannya. Tadi sebelum memulakan perjalanan dia sempat mengingatkan aku akan latihan bandnya Sabtu depan. Aku buat-buat tak dengar.

Hai Brandon, kata Bart.

Hai Bart, kata Brandon.

Maka dengan bertemankan dua kompenien yang hanya punya kepala aku pun memulakan advencer. Harapnya mereka sekepala.

Saja aku tanya Bart, adakah dia masih tertekan dengan rutin hariannya; rutin paling banal dalam sejarah rutin. Bart kata tiada apa yang berubah, cuma sekarang dia punya perspektif yang sedikit beda. Dia sedar sesetengah individu memang tak punya pilihan, yang penting apa yang dilakukan dengan masa dan rakan-rakan yang ada. Brandon mencebik. Manja sangat hang* ni, marahnya. Aku pun depres juga tapi tak ada pun aku canang ke teman-teman, menempikkan vulnerabiliti aku ke seluruh dunia. Kau tahu, tiada yang lebih depresif daripada kewujudan yang ditakrifkan dengan kepala cuma. Barangkali Brandon lupa Bart juga hanya punya kepala.

Brandon jadi moody selepas perjalanan band Boyd and The Boy(d)s tidak seperti yang diimpikan. Bassistnya kerap culas sesi latihan lepas terjatuh cinta dengan pengkid kerja kentaki. Dengar khabar dia dah buat pembedahan rekonstruksi alat kelamin dengan harapan akan didamba oleh pengkid idaman. Cowbellist pula banyak minggu dah hilang. Orang kata dia kahwin lari dengan suara pemandu dalam Waze. Sementara itu, antik Brandon di atas pentas terus menerus disambut dengan makian oleh pengunjung yang dah geram menunggu main act yang tak muncul-muncul. Tapi aku tahu yang paling kuat merembat semangat Brandon ke dasar terobskur ialah jualan album terbaru Incubus (tanpa dia, iaitu wajah Incubus selama ini) yang baru mencecah triple platinum.

Elok sangatlah tu. Kompenien yang aku harapkan dapat menyuntik keceriaan dalam advencer penuh cabaran ini kedua-duanya murung.

Pada hari pertama advencer hujan turun dengan lebat. Payung yang aku bawa tidak muat untuk menyertakan Bart maka kami bertiga berteduh di dalam sebuah bangunan tinggal. Bart bercerita tentang kewangian seorang (serta beberapa orang lagi) gadis yang pernah bertahun diekorinya. Aroma yang memenjarakannya dalam danjen asmara. Kurungan idaman yang diranapkan oleh restraining order dari mahkamah atas sabit kesalahan menghangitkan gadis itu, dan menyebabkan si gadis gagal mendapat jodoh. Setiap kali habis bercerita tentang seorang, Bart akan naik ke bumbung dan terjun. Aku dan Brandon layankan sahaja sebab kami yakin sesuatu yang trivial seperti graviti bumi takkan mampu menumbangkan makhluk semajestik Bartholomew.

Hari kedua hujan makin lebat.

Hari ketiga pun sama.

Hari keempat baru hujan berhenti. Suria seperti dijangka masih tidak memunculkan diri, di pejabat mahupun selepas dinihari.

Sambil melayan kisah-kisah percintaan Bart yang tidak pernah bermula tapi sentiasa berakhir itu, sesekali Brandon ada juga menyelitkan filosofi percintaannya, katanya untuk kekal dengan tema. Menurut Brandon cinta itu filem porno dan novel kena-paksa-kahwin-dengan-ceo-arogan-dan-kacak melayu. Aku kata aku tak boleh relate kerana aku bukan suka sangat pun tengok porno, apatah lagi baca novel sebegitu. Kartun Disney pula bolehlah untuk dijadikan eskapism.

Aku peduli apa kau boleh relate ke tak, bentak Brandon. Katanya lagi, dia berpendapat sedemikian kerana sepertimana cinta, hanya dua perkara tersebut yang kerapkali mencanangkan fantasi absurd kepada jiwa-jiwa mentah dan rakus, sekaligus melahirkan orang paling depresif yang asyik bertanya;

1. Di mana gadis yang sentiasa ghairah dan sentiasa sanggup itu?
2. Mana pergi suami CEO muda, kacak, gagah, asshole tapi sebenarnya sweet dan romantik aku ni?

Setiap kali menyampuk Brandon akan ulang benda yang sama (makin lama aku makin yakin ayat-ayat filosofiknya ni diceduknya dari internet) dan setiap kali, Bart yang ketara sangat lonelynya mesti mengangguk-angguk dengan mata yang bersinar dengan optimism (aku tak rasa Bart faham apa yang cuba Brandon sampaikan). Pada masa yang sama, suarnya akan menembak melata tanda teruja (kerap jugalah membaham rumah setinggan orang). Walaupun begitu, positiviti Bart hanya sementara. Habis cerita dia tetap akan terjun.

Pada hari kelima belas kami terjumpa juga cirit bintang. Malangnya cirit bintang yang kami jumpa itu sememangnya ciritan; ciritan daripada bintang yang tercirit. Opss my bad, kata Bart. Banyak hari dah perut dia memulas lepas kami singgah setiap kenduri kahwin yang ada di sepanjang perjalanan untuk jimat belanja.

Babi Bart.



bersambung...


*Brandon berasal dari California. Persoalan mengapa dia menyelitkan loghat utara dalam perbualan masih menjadi isu yang berlegar dalam kepala penulis.

Aug 27, 2018

menambah populasi atas langit, kerna khabarnya bumi dah overrated,


ujar si manuskrip. kepada si penulis di bawah sana. yang akhirnya mengambil keputusan untuk mendongak selamanya, tidak akan sesekali menunduk dan menjirik nyata lagi.

tot

Dua, tiga minggu sekali misai dan janggut aku akan tumbuh sayap, kemudian berterbangan hingga horizon terkiri. kadang-kadang aku harap sayap mereka kejang (lebih-lebih lagi misai, si wiseass yang bersuara nyaring), lantaas jatuh menghempas bumi, kemudian dicantas pula penggunting bersiri, dan takkan kembali lagi.

cerita yang ditulis selepas membaca cerita 'what do we have in our pocket' oleh Etgar Keret dan menonton filim 'a fault in our stars'


Dia seorang gadis dengan personaliti yang biasa-biasa dengan dress up yang biasa-biasa dan punya senyuman yang biasa-biasa namun ternyata tetap ekstravagan bagi Abu. Si gadis sedang memeriksa kocek celana sambil mencari lighter. Abu tahu kerana sedari 5 minit lepas ada rokok yang masih belum bernyala diapit bibir biasa si gadis. Abu tahu rokok dicipta untuk dinyalakan. Abu juga tahu hanya bimbo akan terpengaruh dengan falsafah hero cerita A Fault in Our Stars. Dan si gadis bukan bimbo.

Abu terbayang statistik yang dia pernah baca dalam surat khabar perihal perokok perempuan. Ini cuma singgahan memori, tak ada signifikan apa-apa pun.

Ada yang kata tak manis perempuan hisap rokok kerana perempuan wajib jadi manis-manis. Tapi manis itu subjektif. Moyang Abu masih kekal makhluk termanis walaupun mulutnya tidak lekang dengan asap manakala giginya semua dah gugur, tewas dihambat nikotin. Dia meninggal sakit tua 13 tahun lepas.

Ada yang kata kool, dan senang nak kongsi rokok nanti.

Ada yang kata, kami boleh buat apa sahaja yang kami mahu tanpa didiktat oleh sesiapa pun.

Deep down Abu harap perokok perempuan makin ramai dalam dunia sebab senang nak mulakan perbualan. Manalah tahu kalau-kalau ada seorang gadis dengan personaliti yang biasa-biasa dengan dress up yang biasa-biasa dan punya senyuman yang biasa-biasa tapi tetap ekstravagan baginya akan mintak lighter. Alangkah malang sekali jikalau Abu tidak punya lighter ketika itu.

Sebagai bekas perokok Abu tahu akan hakikat bahawa tidak sepertimana permintaan-permintaan lain, permintaan lighter dan/atau rokok selalunya tiada diskriminasi, dan tiada kewajipan untuk dibalas, membolehkan si gadis menyuarakan permintaan tanpa segan tanpa silu, dan ini sudah tentu akan meningkatkan peluang untuk Abu menggenggam senyum si gadis.

Kerapkali, dua orang strenjer yang berkongsi lighter dan/atau rokok akan bersembang pendek perihal topik-topik rambang, paling kurang pun senyum antara satu sama lain. Sekuntum senyum sudah cukup bagi Abu sebagai steroid untuk menempuh hari-hari kelam yang punya 240 jam macam hari ini.

Dan, inilah sebabnya wahai kawan, antara sebab musabab aku membawa lighter dlm kocek, walaupun seumur hidup aku tidak pernah merokok. Jerit Abu dalam hati.

Abu menyua lighter kepada si gadis biasa. Awak tahu, saya minat sungguh pada Ansel Elgort. Rokok ini ialah satu tribut. Kata gadis itu.