Manifestasi agung kesatuan umat Islam seluruh dunia

Dr Muhammad Fahmi Md Ramzan

Setiap tahun, Tanah Suci Makkah menjadi saksi fenomena luar biasa apabila jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia berkumpul untuk menunaikan ibadah haji. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang bangsa, budaya, bahasa dan kedudukan sosial. Namun, semuanya bersatu atas satu tujuan yang sama iaitu menyahut seruan Ilahi, mengabdikan diri kepada Allah serta melaksanakan rukun Islam kelima dengan penuh keikhlasan dan ketaatan.

Ibadah haji bukanlah sekadar satu kewajipan ritual bagi umat Islam, tetapi simbol penyatuan yang paling agung dalam sejarah umat manusia. Ia adalah wahana kesatuan yang menyatukan umat Islam di bawah satu akidah, satu kiblat dan satu matlamat, iaitu mencari reda Allah.

Salah satu ciri paling ketara ialah pemakaian kain ihram tanpa jahitan dan tanpa sebarang perhiasan, berfungsi sebagai simbol kesatuan serta persamaan manusia di hadapan Allah. Simbol itu dimaknai daripada pakaian berwarna putih yang mengajarkan manusia untuk mengubur pandangan tentang keunggulan berdasarkan kedudukan, pangkat, status sosial dan keturunan.

Pemakaian kain ihram ini secara simboliknya menghapuskan batas perbezaan sosial, ekonomi dan politik. Tidak ada beza antara raja dan rakyat, antara kaya dan miskin, semuanya kembali kepada fitrah insan sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta. Di hadapan Kaabah, umat Islam bersatu dengan seruan ‘Labbaikallahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik.” (Ya Allah, hamba-Mu menyahut panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu). Seruan ini menggambarkan penyerahan sepenuhnya kepada Allah dan ikrar kesatuan hati umat Islam dalam beribadah kepada-Nya.

Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi di dalam kitabnya berjudul ‘Hikmatu Tasyri’ wa Falsafatuh’ menjelaskan bahawa Allah memerintahkan ibadah haji agar umat Islam di seluruh dunia dapat bersatu dan berkumpul di satu tempat yang sama tanpa melihat perbezaan suku, budaya, negeri, mazhab dan lainnya. Sepertimana dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj ayat 27)

Selain itu, setiap rukun haji membawa nilai yang mendalam dalam membina perpaduan dan kesatuan umat. Sebagai contoh, sewaktu wukuf di Arafah, jutaan jemaah berhimpun di satu tempat pada satu masa yang sama, memohon keampunan dan keredaan Allah. Ini menggambarkan simbolik Padang Mahsyar, tempat perhimpunan umat manusia kelak. Di sinilah mereka belajar bersabar dalam suasana penuh ujian.

Amalan melontar jamrah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, serta tawaf dan sai juga menuntut jemaah untuk berdisiplin, mengikuti peraturan dan menunjukkan toleransi tinggi dalam keadaan yang sesak. Di sinilah terbentuknya semangat kolektif dan kesedaran bahawa kejayaan tidak mungkin dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penyatuan serta kerjasama yang erat.

Ibadah haji yang menghimpunkan jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia juga mendidik umat Islam untuk saling menghormati, tolong-menolong dan berkasih sayang atas nama Islam. Setiap individu Muslim perlu menjadi jambatan menyatukan umat dalam memperkukuh semangat persaudaraan dan membuang segala bibit kebencian. Sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikan di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Tambahan pula, dalam konteks global hari ini, umat Islam sering berhadapan dengan pelbagai cabaran perpecahan dalaman, konflik politik, kelemahan ekonomi, serta ancaman ideologi yang boleh merosakkan akidah dan moral generasi mendatang. Di sinilah semangat haji wajar diangkat dan dihayati secara lebih mendalam. Ibadah haji mengajar umat Islam bahawa kekuatan terletak pada kesatuan. Hanya dengan bersatu, umat ini mampu bangkit dan memainkan peranan sebagai khalifah yang membina tamadun, bukannya terperangkap dalam konflik yang merugikan. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali Imran ayat 103)

Perhimpunan agung umat Islam ini juga semestinya menjadi ruang untuk saling memahami, berdialog dan membina jaringan ukhuwah di antara bangsa serta negara Islam. Ia membuka peluang untuk memperkukuh solidariti serta mencari penyelesaian bersama terhadap isu umat sejagat seperti kezaliman, kemiskinan, Islamofobia dan penjajahan minda. Sebagaimana disampaikan oleh Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi: “Oleh kerananya, sesungguhnya mereka boleh bertukar pendapat tentang kebaikan-kebaikan dunia dan akhirat. Dan ini maksud daripada persatuan Islam yang ditakuti (musuh-musuh Islam).”

Jemaah haji bukan sahaja pulang dengan status sebagai ‘haji’ atau ‘hajah’, tetapi mereka membawa pulang satu pengalaman berharga yang perlu diterjemah dalam kehidupan seharian. Semangat tolong-menolong, disiplin, kesederhanaan dan kesatuan yang dipelajari sepanjang ibadah haji wajar diteruskan dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka menjadi ejen perubahan dalam membina masyarakat Islam yang harmoni dan berwawasan.

Tuntasnya, ibadah haji hakikatnya adalah manifestasi agung kepada kesatuan umat Islam. Ia bukan sekadar ritual tahunan, tetapi wahana yang menyatukan umat dalam roh persaudaraan sejagat. Dalam suasana dunia yang serba mencabar, umat Islam wajar mencontohi nilai murni yang terkandung dalam ibadah haji seperti nilai kesatuan, kebersamaan dan pengorbanan demi kepentingan agama dan ummah.

Maka, marilah kita menjadikan semangat ibadah haji sebagai inspirasi untuk memperkukuh perpaduan, menolak perpecahan dan membina masa depan umat yang lebih gemilang, bersatu atas nama Islam dan berjuang demi kebenaran.

facebook sharing button
whatsapp sharing button
twitter sharing button

Ibadah agung ganjaran tiada tanding

Ahmad Fadzlullah Hasanuddin

Setiap kali tiba Zulhijah, Allah SWT mengurniakan peluang keemasan buat umat Islam melalui ibadah korban. Ia bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi sebuah bentuk pengabdian yang menggambarkan kepatuhan mutlak kepada perintah Allah, sebagaimana dicontohkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Korban ialah ekspresi keikhlasan, pengorbanan dan ketakwaan yang terbit daripada hati tunduk kepada Rabb Yang Maha Esa.

Lebih daripada itu, ibadah korban ialah saluran untuk mengikis sifat bakhil, memperluas rahmat kepada masyarakat dan memperkukuh ikatan sosial melalui agihan daging kepada golongan memerlukan. Ia menjadi ibadah yang menyatukan antara kaya dan miskin, antara yang memberi dan yang menerima serta antara dunia dan akhirat.

Pada zaman ini, ketika jurang sosial semakin melebar dan rasa empati makin semakin menipis, ibadah korban hadir sebagai pengimbang kepada kelompangan tersebut, menghidupkan kembali rasa tanggungjawab bersama. Justeru, tidak wajar bagi mereka yang berkemampuan untuk memandang ringan akan peluang ini.

Warisan pengorbanan Nabi Ibrahim AS.Asal usul korban merujuk kepada peristiwa agung dalam sejarah manusia, iaitu ketaatan Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan Allah SWT mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS. Tanpa ragu dan penuh keikhlasan, baginda berdua akur perintah Ilahi.

Firman Allah: “Maka apabila kedua-duanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis (nya), Kami pun menyerunya: ‘Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah Kami memberi ganjaran kepada orang yang berbuat kebaikan.'”

Surah al-Saffat ayat 103 hingga 105)

Inilah pengorbanan sebenar dan menjadi asas kepada ibadah korban yang kita amalkan hingga hari ini.

Ganjaran korban di sisi Allah

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah pada hari Nahar selain daripada menumpahkan darah. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan itu akan jatuh di suatu tempat di sisi Allah sebelum ia jatuh ke tanah. Maka redalah kamu dengannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, no 1493)

Hadis ini menjadi motivasi besar kepada umat Islam untuk menyertai ibadah korban dengan penuh keinsafan dan harapan. Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Hai Fatimah! Pergilah kepada haiwan korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darah pertama daripadanya akan mengampunkan dosa kamu yang lalu.” (Riwayat al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Hakim)

Galakan supaya tidak meninggalkan korban

Korban amalan yang sangat dianjurkan bagi mereka yang berkemampuan. Ia sunah muakkadah (sangat dituntut) dan ditinggalkan hanya dengan sebab yang syarii.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (rezeki), tetapi tidak melakukan korban, janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Design a site like this with WordPress.com
Get started