Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Solat sempurna boleh disiplinkan setiap Muslim

Posted by epondok di Januari 20, 2026

Oleh Hasliza Hassan
Solat mampu menjadi sebagai sumber kekuatan jiwa. Solat dapat menguatkan jiwa seseorang sehingga mampu meninggalkan perkara keji dan kemungkaran.

Allah SWT berfirman: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45) Solat yang dilakukan secara sempurna dapat mendisiplinkan Muslim. Rukun tertib dalam solat dan kebanyakan ibadat lain adalah latihan sangat berjaya membentuk insan yang patuh dan berdisiplin tinggi.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)

Antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib.

Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara. Jika mendahulukan amalan yang dikemudiankan, solat tidak sah.

Malah, tidak menjadi kesalahan jika kecenderungan seseorang kepada solat dijadikan faktor penting dalam memilih pekerja, pemimpin mahupun pasangan hidup.

Solat mendidik umat Islam menepati masa kerana pensyariatan solat fardu lima waktu mendidik hamba-Nya mengurus masa dengan baik.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)

Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat sebelum masuk waktu dengan sengaja adalah tidak sah dan mendapat dosa. Jika dilakukan selepas waktunya solat itu dianggap qada’.

Ini secara tidak langsung melatih orang Islam menepati dan menghargai masa. Malah kegagalan menepati waktu solat memberikan kesan langsung kepada keprihatinan seseorang itu terhadap masa dalam kehidupannya yang lain.

Seseorang yang culas solat Subuh juga menghadapi masalah ke tempat kerja atau sekolah. Kepekaan kepada waktu solat dapat diperkembangkan kepada seluruh kehidupan hingga menjadikan umat Islam golongan menghargai masa untuk cemerlang di dunia dan akhirat.

Solat didirikan dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan akan menjadi cahaya di dunia dan akhirat serta diselamatkan daripada azab api neraka.

Rasulullah SAW pernah menceritakan, orang yang tekun mengerjakan solat mendapat cahaya atau petunjuk di dunia dan akhirat. Orang yang bersolat juga tidak akan terjerumus ke lembah kehinaan dan kebinasaan kerana solat menjadi panduan mereka menjalani hidup diredai Allah.

Abdullah bin Amru melaporkan kisah ini daripada Rasulullah yang sabdanya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari kiamat.

Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk), tiada bukti dan tidak akan mendapat pertolongan. Malah, pada hari kiamat nanti, dia akan ditempatkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Ringkasnya, solat adalah kewajipan dan syiar yang paling utama seorang Muslim. Solat juga adalah garis pemisah antara iman dan kufur, antara orang beriman dan orang kafir.

Berdasarkan Tafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah berkata, solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini dalam solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Tiga keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tips lahirkan zuriat soleh

Posted by epondok di Januari 20, 2026

Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Zulfa Mohamad

 KELUARGA BAHAGIA...ibu bapa perlu pamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana positif itu akan meresapi ke dalam jiwa dan sanubari. - Gambar hiasan
KELUARGA BAHAGIA…ibu bapa perlu pamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana positif itu akan meresapi ke dalam jiwa dan sanubari. – Gambar hiasan

SETIAP pasangan suami isteri pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina segera dikurniakan cahaya mata bagi menjadi pelengkap hubungan kasih sayang antara mereka.

Jika berhasil, panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah kerana Dia ‘memilih’ kita untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik anak dalam kandungan itu supaya menjadi insan berguna.

Bagi pasangan yang barangkali sudah bertahun menantikan kehadiran cahaya mata namun rezeki belum berpihak kepada mereka percayalah, itu sebahagian ujian Allah dan terimalah ketentuan itu dengan penuh reda.

Gunakan kesempatan yang ada untuk terus berdoa dan berusaha, moga-moga satu hari nanti Allah perkenankan permohonan kita menimang cahaya mata.

Ketika itu, diharapkan kita sudah bersedia menggalas amanah Allah itu dengan sempurna. Setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka bukan saja dapat membantu di dunia bahkan diharap membantu ibu bapanya hingga ke akhirat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila sudah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya.”

Sekiranya mengidamkan zuriat yang terbaik dan soleh, setiap ibu bapa mesti sentiasa berdoa kepada Allah yang menjadi amalan nabi dan rasul.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau sentiasa Maha Mendengar doa permohonan.” (Surah Ali-Imran ayat 38).

Dalam ayat itu, nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t.

Malah proses melahirkan anak soleh juga perlu mengambil kira adab sebelum melakukan hubungan intim bersama isteri supaya terhindar daripada gangguan syaitan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Aspek pemberian nama kepada bayi juga perlu diberi perhatian serius. Pastikan
ibu bapa memberikan nama yang indah dan mempunyai makna yang baik selain
sedap di dengar dan mudah disebut.

Daripada Abu Darda’ berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu sekalian akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Nama yang dipanggil kepada anak itu adalah doa buat mereka dan mewakili diri serta kehidupannya. Jangan salah memberi nama sehingga membawa maksud keji, hina dan buruk maksudnya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berilah nama dengan nama-nama Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain).

Anak juga perlu diberi penekanan terhadap tuntutan ibadah kerana kesempurnaan ibadah melambangkan sifat kepatuhan serta ketaatan kepada Allah.

Ibu bapa juga perlu mempamerkan akhlak dan budi terpuji kepada anak-anak yang masih dalam proses membesar kerana suasana baik dan positif itu akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari.

Soal halal haram rezeki amat mempengaruhi tindakan sikap dan tingkah laku anak. Pastikan apa saja bentuk rezeki termasuk wang, makanan atau minuman yang dibawa pulang ke rumah datangnya daripada sumber halal, terbaik lagi suci.

Malah sumber syubhah perlu dijauhi. Rezeki daripada sumber haram pastinya tidak membawa keberkatan malah ia akan menjadi darah daging yang merosakkan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, makanlah apa-apa di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah ayat 168).

Mulakan langkah pertama mendidik anak dengan kembali menghayati ajaran Islam serta menghidupkan persekitaran Islamiah dalam rumah tangga.

Pegawai Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Roslan Che Rus berkata, ciri-ciri anak soleh antaranya taat kepada Allah, taat kepada ibu bapa dan menjadikan Islam sebagai pegangan.

“Jika anak soleh menjadi perhiasan kepada kehidupan di dunia dan menyejukkan mata memandang, anak toleh pula membawa maksud bertentangan.

“Anak toleh ialah anak yang jahat, tidak mentaati Allah serta ibu bapa serta sering menimbulkan masalah kepada masyarakat selain memusnahkan kebahagiaan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa atau bakal bapa perlu sentiasa memainkan peranan mereka terutamanya menyuburkan amalan terbaik yang mampu memberikan kesan langsung kepada jiwa anak-anak untuk menjadi insan soleh dan solehah.

“Melahirkan serta memiliki anak soleh lebih penting daripada menumpukan sepenuh masa mencari dan mengumpul harta kekayaan dunia.

“Tiada gunanya sepasang suami isteri yang sudah memiliki segala-galanya, harta melimpah ruah, tetapi gagal membentuk peribadi anaknya yang diselubungi pelbagai masalah moral.

“Istilah anak toleh atau derhaka ini pastinya menghampakan impian dan harapan kedua ibu bapanya malah tidak membahagiakan kehidupan orang tuanya di dunia dan di akhirat,” katanya.

Beliau berkata, anak soleh tidak akan putus-putus mendoakan kesejahteraan
dan kebahagiaan ibu bapa mereka meskipun mereka sudah pergi menghadap Ilahi.

“Itulah yang amat diharapkan setiap ibu bapa apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Doa yang sentiasa dipanjatkan anak yang soleh itu pastinya menjadi bekalan berkekalan buat mereka.

“Nabi ada bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

“Anak soleh bukan dapat dilahirkan secara ‘automatik’ sebaliknya bergantung kepada pendidikan yang bermula sejak daripada pemilihan calon isteri atau suami lagi,” katanya.

Roslan berkata, pendidikan sempurna adalah asas paling utama untuk melahirkan anak yang soleh selain perlu disesuaikan dengan suasana dan zaman mereka.

“Anak-anak perlu diberikan didikan sesuai dengan peringkat umur mereka dan suasana semasa di samping perlu melihat bentuk cabaran yang sedang dihadapi.

“Nabi Muhammad pernah bersabda, didiklah anak kamu mengikut peredaran zaman kerana anak kamu akan membesar pada zaman lain dengan cabaran berbeza dengan cabaran hari ini,” katanya.

Ahmad Faisol berkata, memiliki anak soleh bermula sejak daripada pemilihan calon pasangan lagi iaitu berdasarkan kepada empat perkara agama, kekayaan, kecantikan dan keturunan.

“Rasulullah menyarankan lelaki yang mahu berkahwin memilih wanita atas sebab agama kerana pastinya ia usaha awal untuk memiliki anak soleh.

“Besar kemungkinan, jika seseorang memilih pasangan yang tidak bagus sikap,
akhlak dan peribadinya kemungkinan anak yang mereka miliki mempunyai sikap sama,” katanya.

Beliau berkata, ramai pasangan melakukan kesilapan kerana hanya berdoa meminta dikurniakan anak, tetapi tidak ramai yang meminta dikurniakan anak soleh.

“Setiap pasangan perlu sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak yang soleh.
Justeru pendidikan awal daripada ibu bapa kepada anak mereka amat penting dalam menentukan baik buruk hala tuju anak-anak.

“Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan seperti kain putih, ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

“Tidak cukup ibu bapa hanya berbangga anak mereka mampu memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan kerana yang lebih penting daripada itu ialah mereka turut melakar kecemerlangan kerana menjiwai watak anak soleh,” katanya.

Ahmad Fisol berkata, bukan bermakna ibu bapa yang mempunyai anak derhaka perlu disisihkan mereka begitu saja namun anak itu perlu diberikan peluang serta bimbingan untuk berubah.

“Sebenarnya itu sebahagian ujian Allah kepada hambanya supaya mereka terus gigih memberi galakan serta membantu anak mereka kembali ke pangkal jalan.

“Setiap ibu bapa disarankan tidak mudah putus harapan dan semangat sebaliknya terus melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai contoh ikutan kepada anak-anak,” katanya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tanda Taubat DiTerima Allah

Posted by epondok di Januari 18, 2026

1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila ia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.

2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang soleh dari mendekati mereka-mereka yang fasik.
3. Bila ia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.
4. Bila ia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah sebaliknya sedikitpun ia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah.
5. Sungguhpun sedikit rezaki yang ia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.
6. Bila ia melihat pada dirinya yg sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Banyak ketawa hati mati

Posted by epondok di Januari 17, 2026

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan. Manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa.

Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam.

Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama baginda di medan peperangan.

Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud: Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (pada akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan. (at-Taubah: 82).

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi. Tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati (riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).”

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Perbuatan itu dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat.

Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri. Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Menetapkan azam perlu realistik, mulakan dengan perubahan kecil

Posted by epondok di Januari 17, 2026

Oleh Wan Ahmad Naqiuddin Wan Khalid 

DALAM menghadapi tahun baharu, setiap orang mempunyai azam tertentu untuk dicapainya. Namun, sebahagian besar daripada kita tidak mampu untuk merealisasikannya apabila tahun itu berakhir. Ini sepatutnya membawa muhasabah dan renungan mendalam daripada sekadar mengubah sesuatu azam lama dengan yang lain.

Apa yang harus diinsaf penggantian bulan atau tahun ialah suatu perkara biasa yang sudah sering berlaku. Ia adalah perkiraan masa tidak memberi kesan yang signifikan kepada perubahan seseorang dari sudut fizikal dan keupayaannya.

Jika sikap dan rutin hariannya masih sama, maka tanggal 1 Januari itu hanyalah keesokan hari bagi semalam. Maka tidak boleh untuk diharapkan perubahan drastik serta-merta dengan hanya masuk tahun baharu.

Sebaliknya menurut ilmuwan Islam berasal dari Mesir pada abad lalu, Muhammad al-Ghazali, perubahan sebenar adalah daripada dalam diri manusia dan perkara ini memerlukan masa yang lebih lama.

Tidak cukup untuk berubah dalam masa sehari sahaja. Bahkan perubahan mungkin mengambil masa bertahun-tahun atau seumur hidup. Dalam hal ini, kita mungkin menjangkakan keputusan segera di luar daripada kemampuan sebenar kita.

Jika begitu keadaannya, sudah tentu azam yang kita tetapkan secara tahunan itu akan gagal kerana waktu selama 12 bulan itu tidak mencukupi. Oleh itu, bagi sesetengah azam perlu untuk diletakkan waktu lebih panjang berdasarkan kepada kesukarannya.

Kita perlu menjadi lebih realistik. Mungkin seseorang boleh meletakkan azam secara lima hingga 10 tahun yang lebih sesuai bagi sesuatu azam yang besar.

Selain itu, perubahan sikap itu perlu dilakukan dengan usaha keras berterusan dan berpanjangan sehingga dapat menukar tabiat buruk kepada tabiat baik. Perubahan ini perlu bermula dengan berubahnya rutin dijalani setiap hari.

Azam baharu tidak akan terlaksana jika rutin seharian dilalui adalah rutin tidak efisien bagi azam berkenaan. Oleh itu, perubahan tahun semata-mata dengan hanya menetapkan azam tanpa sebarang perubahan tabiat dan rutin harian ketara adalah sesuatu tidak akan berhasil.

Setiap tabiat dan rutin kecil yang kita ubah lebih baik dalam kehidupan seharian kita akan mendekat sedikit demi sedikit kepada azam yang kita inginkan.

Ini juga selaras dengan hadis Nabi SAW yang bersabda, “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari). Hadis ini menunjukkan suatu amalan sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada semangat di awal sahaja dengan melakukan amalan secara banyak tetapi hanya beberapa kali sahaja.

Di samping itu, kebanyakan azam ditetapkan tidak hanya bergantung kepada usaha kita sendiri sahaja. Terdapat pelbagai lagi cabaran dan halangan di luar kawalan kita yang berpotensi untuk menyebabkan kita tidak dapat mencapai azam yang kita tetapkan berkenaan.

Kesihatan, kemalangan, kesibukan dan masalah luar jangka menjadi faktor yang kita tidak ambil kira apabila kita membina satu-satu azam. Sebaliknya kita perlu fokus kepada apa yang boleh dikawal dan adapun perkara yang lain kita bertawakal kepada Allah SWT dan reda dengan takdir-Nya.

Azam itu sendiri ialah manifestasi kepada keinginan dan kehendak kita. Namun tidak semua yang kita kehendaki akan tercapai. Apa yang tercapai ialah apa dikehendaki Allah SWT. Imam al-Tahawi menyebutkan perkara ini dalam kitabnya al-Aqidah al-Tahawiyyah, “Setiap perkara berlaku dengan takdir dan kehendak-Nya. Hanya kehendak-Nya sahaja yang terlaksana. Kehendak hamba tidak terlaksana kecuali apa yang dikehendaki-Nya.”

Penyelesaiannya daripada kita hanya menetapkan azam besar yang bersifat umum, sebaiknya kita memilih untuk menukar beberapa tabiat kecil yang dilakukan seharian. Kita adalah hasil daripada rutin harian dan tabiat yang kita lakukan sehari-hari.

Mulakan dengan perkara yang kecil yang signifikan untuk mengubah peribadi kita ke arah yang lebih baik seperti bangun atau tidur lebih awal, berjalan setiap pagi, mengambil makanan yang sihat pada sarapan dan seumpama dengannya.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

4 Kunci Utama Untuk Kekal Istiqamah Baca al-Quran

Posted by epondok di Januari 16, 2026

Sebelum masuk kepada huraian setiap empat kunci penting iaitu rutin, mindset, persekitaran dan rasa kagum, adalah penting untuk difahami bahawa istiqamah baca al-Quran memerlukan niat yang jelas dan kesungguhan diri sendiri.

Tanpa komitmen untuk menjadikan al-Quran sebahagian dari kehidupan, sukar untuk mengekalkan bacaan secara konsisten walaupun dengan strategi terbaik. Oleh itu, jadikan langkah-langkah berikut sebagai panduan praktikal yang boleh diikuti sehari-hari.

Berikut adalah penerangan setiap kunci dan cara amalkannya:

1. Rutin

Langkah pertama ialah menetapkan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari. Waktu yang dicadangkan adalah selepas solat fardhu:

  • Selepas solat, cuba baca sekurang-kurangnya satu muka surat
  • Jika tidak mampu, pilih waktu lain seperti sebelum tidur, awal pagi, atau selepas Maghrib

Jika masih tiada masa untuk membaca dalam sehari, mungkin jadual harian perlu disusun semula agar ruang untuk al-Quran wujud setiap hari.

2. Pemikiran (mindset)

Kunci kedua ialah membina mindset positif terhadap al-Quran. Fahami kelebihan membaca al-Quran setiap hari agar ia bukan sekadar aktiviti tambahan, tetapi menjadi keperluan hidup:

  • Apabila mindset ini terbentuk, anda akan terasa tidak selesa atau ralat jika tidak membaca
  • Bacaan al-Quran menjadi sebahagian daripada kehidupan, bukan sekadar rutin kosong

3. Persekitaran

Kekuatan persekitaran memainkan peranan penting untuk istiqamah:

  • Cari insan yang dekat dengan al-Quran, seperti mereka yang suka membaca dan berkongsi ilmu al-Quran
  • Kurangkan pergaulan dengan mereka yang jarang membaca al-Quran, bukan memutuskan hubungan terus, tetapi beri fokus kepada pengaruh positif

Dengan persekitaran yang menyokong, kita lebih mudah menjadikan al-Quran sebahagian dari hidup harian.

4. Rasa kagum

Kunci terakhir ialah rasa kagum terhadap al-Quran. Fahami maksud dan kehebatan kandungan al-Quran:

  • Membaca dan menghayati makna al-Quran akan menimbulkan rasa rapat dan terikat dengan kitab suci
  • Apabila rasa kagum ini hadir, anda akan terasa ralat jika tidak membaca al-Quran

Rasa kagum inilah yang mengekalkan istiqamah dalam jangka masa panjang.

Dengan mengamalkan empat kunci ini iaitu rutin, mindset, persekitaran dan rasa kagum, Insha-Allah membaca al-Quran bukan lagi aktiviti yang terputus-putus tetapi menjadi sebahagian dari kehidupan seharian kita.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Buat perancangan, betulkan niat hidupkan tahun baru

Posted by epondok di Januari 14, 2026

Buat perancangan, betulkan niat

Islam mengajar umatnya supaya menjalani kehidupan secara teratur, fokus dan terarah serta tidak hanyut dalam kelalaian.

SALAH satu panduan Islam untuk berjaya adalah dengan menuntut ilmu. Foto Canva

SALAH satu panduan Islam untuk berjaya adalah dengan menuntut ilmu. Foto Canva

Oleh sebab itu, perancangan dan usaha untuk mencapai kejayaan pada tahun baharu 2026 hendaklah diteruskan dengan penuh tekad dan keikhlasan supaya setiap pekerjaan yang dilakukan menjadi ibadah dan memperoleh keredaan ALLAH SWT.

“Ayat ke-162 surah al-An’am menegaskan seluruh aspek kehidupan seorang Mukmin, termasuk pekerjaan, perancangan hidup dan usaha mencari rezeki hendaklah diniatkan semata-mata kerana ALLAH SWT.

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

“Apabila niat diperbetulkan, urusan dunia seperti bekerja, mencari nafkah, mengurus keluarga dan merancang masa depan bukan lagi sekadar urusan dunia, bahkan bertukar menjadi ibadah yang bernilai di sisi-NYA,” jelasnya.

Islam menggalakkan umatnya sentiasa melakukan perubahan diri agar menjadi insan yang lebih baik dan berjaya di dunia serta akhirat.

Panduan penting yang diajar Islam untuk menjadi insan yang berjaya:

1 – Islam mengajar umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam kehidupan dunia, namun sentiasa meletakkan akhirat sebagai tujuan utama.

Dunia ini hanyalah medan ujian dan ladang bercucuk tanam, manakala hasilnya akan dituai di akhirat kelak.

KEJAYAAN hakiki bukan berjaya dalam kehidupan dunia sahaja, bahkan ia meliputi akhirat juga. Foto Canva

KEJAYAAN hakiki bukan berjaya dalam kehidupan dunia sahaja, bahkan ia meliputi akhirat juga. Foto Canva

2 – Memahami nilai masa sebagai amanah. Islam mendidik kita supaya melihat masa sebagai nikmat dan amanah besar yang tidak boleh disia-siakan.

Setiap detik yang berlalu adalah sebahagian daripada umur kita yang tidak akan kembali. Oleh itu, seorang Mukmin yang sedar tidak akan membiarkan masanya berlalu tanpa perancangan dan tujuan yang jelas.

3 – Menjadikan kerja sebagai ibadah. Pekerjaan boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tujuan yang betul.

Mencari rezeki untuk keluarga dan menjaga diri daripada meminta-minta dinilai sebagai amalan yang besar di sisi ALLAH SWT.

4 – Menuntut ilmu yang memajukan umat. Islam tidak pernah memisahkan antara urusan dunia dan urusan agama.

Bahkan Islam mengangkat kedudukan ilmu sebagai asas kepada kemajuan umat serta pembinaan tamadun.

TERUSLAH berusaha mengejar kejayaan mengikut panduan yang telah disediakan Islam. Foto Canva

TERUSLAH berusaha mengejar kejayaan mengikut panduan yang telah disediakan Islam. Foto Canva

5 – Menjauhi sikap malas dan suka meminta-minta. Islam mengajar umatnya menjadi insan yang kuat, berdikari dan memberi manfaat kepada orang lain.

Sikap malas dan bergantung kepada orang lain tanpa keperluan menjatuhkan maruah diri dan umat.

Sebagai penutup, khatib berpesan kepada jemaah bahawa setiap detik yang berlalu adalah sebahagian daripada umur kita yang telah pergi dan tidak akan kembali.

“Setiap amal dan usaha kita akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT. Islam mengajar kita supaya sentiasa memajukan diri, membuat azam baharu dan memperbaiki diri setiap masa.

“Kita tidak perlu menunggu tahun baru sahaja untuk berubah, tetapi boleh terus memajukan diri pada setiap masa dengan ilmu, amalan dan niat yang ikhlas.

“Oleh itu, jadikan setiap langkah, pekerjaan dan pengorbanan sebagai bekalan yang berharga. Dengan cara ini, kita tidak akan menyesal, dapat berjaya di dunia dan akhirnya memperoleh kejayaan sebenar di sisi ALLAH SWT di akhirat kelak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kita perlu menggunakan masa yang ada dengan bijak kerana setiap hari yang berlalu mengurangkan umur kita
  • Nilai umur seseorang ditentukan oleh amalan soleh yang dilakukan sepanjang hidup
  • Islam mengajar untuk menjalani kehidupan secara teratur dengan niat yang betul agar pekerjaan menjadi ibadah
  • Pentingnya membuat perubahan diri dan memajukan diri untuk kejayaan di dunia dan akhirat
  • Setiap detik yang berlalu adalah amanah yang tidak akan kembali, oleh itu kita harus senantiasa memperbaiki diri dengan ilmu dan amalan

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Berubah kepada kebaikan hayati tahun baru

Posted by epondok di Januari 12, 2026

MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

MENITI detik akhir tahun, ramai antara kita menghitung pencapaian dan kegagalan dalam urusan dunia seperti pekerjaan, ekonomi, hubungan serta impian yang dikejar.

Namun, sebagai seorang Muslim, renungan akhir tahun sewajarnya lebih mendalam daripada sekadar menilai apa yang berlaku di luar diri.

Ia merupakan masa terbaik untuk bertanya secara jujur: “Bagaimana amalan setahun ini di sisi ALLAH? Adakah hidup yang berlalu ini semakin mendekatkan diri kepada-NYA atau sebaliknya?”

Persoalan ini bukan ringan, kerana ALLAH berfirman dalam surah Al-Hashr ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah ia sediakan untuk hari esok (akhirat).”

Renungan ini membawa kita menilai amal, hati dan arah hidup yang mungkin kita abaikan dalam kesibukan dunia.

Jika kita telusuri perjalanan setahun, pasti banyak nikmat dikurniakan Allah walaupun kadang-kadang tidak kita sedari seperti kesihatan, rezeki, keluarga, peluang belajar, kemampuan bekerja dan semuanya bukan jaminan setiap manusia.

Ramai diuji dengan kesakitan, kehilangan dan kesempitan hidup, namun tetap tabah kerana yakin adanya hikmah. Sewajarnya kita mensyukuri setiap nikmat dengan ketaatan, bukan hanya dengan kata-kata.

Syukur yang sebenar apabila nikmat yang diterima diterjemah dalam ibadah dan akhlak. Justeru, renungan akhir tahun bukan sekadar mengimbas, tetapi menilai sejauh mana nikmat tersebut membawa kita kepada ketakwaan atau melalaikan.

Muhasabah diri sebelum dihisab

Dalam menilai amalan setahun, tanyalah pada diri: “Berapa banyak solat yang dijaga tepat pada waktunya? Berapa kerap al-Quran dibaca dan dihayati terjemahannya? Adakah zakat ditunaikan, sedekah diperbanyakkan atau masih berkira-kira dengan rezeki ALLAH?”

Sesetengah kita begitu cepat mengejar dunia, tetapi perlahan dalam urusan akhirat. Kita tekun memantau perkembangan kewangan, namun jarang menyemak perkembangan iman.

HUBUNGKAN silaturahim sesama kita dan saling bermaafan. Foto Canva

HUBUNGKAN silaturahim sesama kita dan saling bermaafan. Foto Canva

Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan: “Orang yang bijak ialah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” (Hadis Riwayat Muslim)

Muhasabah akhir tahun merupakan peluang menilai kelemahan lalu memperbaharui tekad untuk menjadi lebih baik.

Perbaiki hubungan, mohon maaf dan memaafkan

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian juga ialah hubungan sesama manusia. Berapa banyak hati yang telah kita sakiti sepanjang tahun?

Mungkin terdapat kata-kata yang meninggalkan luka, ada janji yang tidak tertunai, ada perselisihan yang dibiarkan membeku tanpa salam.

Menjelang tahun baharu, cubalah perbaiki hubungan, memohon maaf dan memaafkan. Menyambung silaturahim adalah salah satu amalan besar yang mendatangkan keberkatan hidup.

Kita tidak tahu siapakah antara saudara atau rakan yang mungkin tidak, sempat bersama kita pada tahun mendatang. Maka jangan berat untuk memohon maaf, kerana memaafkan bukan tanda kalah, tetapi tanda hati yang besar.

Tambah ilmu agama

Selain itu, penting untuk bertanya juga: “Apakah kita telah berusaha menambah ilmu agama tahun ini?”

Hidup Muslim bukan hanya ritual, tetapi kefahaman. Tanpa ilmu, ibadah boleh menjadi rutin kosong tanpa penghayatan.

Hadirilah kuliah agama, bacalah buku-buku bermanfaat, dengarlah ceramah dalam talian serta bergaullah dengan mereka yang mengajak kepada kebaikan.

Ilmu yang benar akan menuntun akhlak, adab dan cara pandang kita terhadap dunia. Semakin bertambah ilmu, semakin tunduk hati kepada Allah. Sebaliknya, ketandusan ilmu menjadikan hati keras, mudah marah, mudah leka dan sukar menerima nasihat.

LUANGKAN masa untuk mendalami ilmu agama tanda Muslim mahu menjadi lebih baik pada masa akan datang. Foto Canva

LUANGKAN masa untuk mendalami ilmu agama tanda Muslim mahu menjadi lebih baik pada masa akan datang. Foto Canva

Jangan tangguh taubat

Dalam masa yang sama, ada juga perkara yang perlu kita elakkan agar perjalanan tahun baharu lebih bermakna. Hindarkan sikap menangguh taubat.

Ramai menunggu detik tertentu untuk berubah, contohnya di penghujung Ramadan, selepas naik pangkat atau selepas pencen, sedangkan ajal tidak menunggu masa.

Elakkan juga sikap berbangga dengan dosa atau menyebarkan maksiat melalui media sosial. Dosa yang dipamerkan mengundang murka ALLAH dan menjadi fitnah kepada agama.

Begitu juga dengan sikap hasad dengki, membuang masa dengan hiburan melampau serta lalai daripada berzikir.

Akhir tahun juga mengingatkan kita bahawa masa yang berlalu tidak mungkin kembali. Jika setahun berlalu tanpa peningkatan iman, maka kita akan rugi.

Namun jangan pula berputus asa. Sesungguhnya pintu taubat Allah sentiasa terbuka bagi hamba yang kembali dengan tulus. Mulakan langkah kecil dengan istiqamah bersolat di awal waktu, menambah tilawah satu muka al-Quran sehari, biasakan memberi sedekah walau sedikit, senyum dan berbuat baik kepada orang lain. Sesungguhnya perubahan besar bermula dari usaha yang kecil tetapi konsisten.

Semoga renungan ini menjadi titik permulaan untuk memperbaharui niat dan azam. Tahun baharu bukan hanya angka berganti pada kalendar, tetapi peluang memperbaiki diri sebelum tiba hari perhitungan yang kekal.

Jadikan kehidupan ini satu perjalanan menuju reda ALLAH. Moga tahun mendatang menjadikan kita lebih dekat dengan Tuhan, lebih lembut hati, lebih santun berbahasa, lebih ikhlas beramal dan lebih banyak memberi manfaat kepada insan lain.

***Penulis, Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak merupakan Pensyarah Madya di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ringkasan AI

  • Renungan akhir tahun bagi seorang Muslim adalah melihat sejauh mana kehidupan setahun mendekatkan diri kepada Allah Muhasabah diri penting untuk menilai amal ibadah sepanjang tahun dan memperbaharui tekad untuk tahun hadapan Penting menilai dan memperbaiki hubungan dengan sesama manusia, memohon maaf dan memaafkan sebelum tahun baru Bertambahnya ilmu agama merupakan unsur penting yang membantu memperdalam kefahaman dan amalan ibadah Jangan menunda-nunda taubat dan mulakan langkah kecil dalam kebaikan untuk perubahan yang lebih baik di tahun baru

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Rejab bulan audit diri sebelum tiba Ramadan

Posted by epondok di Januari 10, 2026

MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

KEDATANGAN bulan Rejab 1447 Hijrah menjadi isyarat awal bahawa bulan Ramadan kian menghampiri.

Namun, realitinya wujud perbezaan yang ketara antara mereka yang sekadar menyedari kehadiran bulan Rejab dan mereka yang benar-benar memanfaatkan peluang ini untuk melakukan audit diri serta memperbaiki kelemahan yang ada.

Hakikatnya, Rejab bukan sekadar bulan persediaan menuju Ramadan bahkan wajar difahami sebagai bulan muhasabah sosial khususnya apabila masyarakat hari ini berdepan dengan pelbagai krisis nilai yang semakin membimbangkan.

Isu rumah tangga yang berpanjangan, keganasan malah kes-kes pembunuhan tragis yang menggemparkan negara menuntut renungan yang lebih mendalam, bukan sekadar simpati sesaat.

Setiap permasalahan perlu diteliti daripada akar umbinya. Sebahagian besar krisis sosial bermula daripada institusi asas iaitu keluarga yang menjadi titik permulaan pembentukan nilai dan akhlak dalam masyarakat.

Keluarga yang dibina atas asas nilai akhlak dan tanggungjawab akan melahirkan individu yang seimbang seterusnya membentuk masyarakat yang harmoni.

Masyarakat yang baik akhirnya menyumbang kepada pembinaan sebuah negara yang aman, sejahtera dan diberkati ALLAH SWT. Sebaliknya, keruntuhan nilai dalam keluarga sering menjadi pintu masuk kepada pelbagai bentuk kemungkaran dan kerosakan sosial.

Oleh itu, usaha memperbaiki keadaan ini tidak wajar diserahkan kepada pihak tertentu semata-mata sebaliknya menuntut kesedaran dan peranan setiap individu.

Audit cegah rosak lebih besar

Proses mengaudit diri merupakan langkah awal yang signifikan dalam mencegah kerosakan yang lebih besar, selaras dengan peringatan ALLAH SWT bahawa perubahan hanya akan berlaku apabila manusia sendiri berusaha mengubah keadaan diri mereka: “Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra‘d:11)

Dalam konteks ini, susunan bulan-bulan mulia membawa mesej yang amat signifikan. Rejab sebagai bulan audit diri, Syaaban sebagai bulan latihan dan Ramadan sebagai medan perjuangan sebenar.

Urutan ini menunjukkan bahawa perubahan yang hakiki tidak berlaku secara mendadak sebaliknya memerlukan persediaan yang berperingkat dan berterusan. ALLAH SWT seolah-olah memberi isyarat agar persiapan menuju Ramadan dimulakan lebih awal melalui tiga bulan ini.

Perubahan bermula dengan diri sendiri 

Luangkan masa untuk bermuhasabah, merenung dosa-dosa yang telah ALLAH SWT tutupi aibnya serta memperbaharui tekad untuk menjadi insan yang lebih baik.

Antara amalan yang lazim dilakukan apabila tibanya bulan Rejab ialah membaca doa berikut pada awal dan sepanjang bulan ini: “Ya ALLAH, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Jadikan doa ini sebagai langkah pertama untuk menyambut bulan Rejab sebagai bulan audit diri sebelum tibanya Ramadan, bulan perjuangan yang sebenar.

Dua bulan terawal ini merupakan peluang berharga yang ALLAH SWT kurniakan kepada hamba-Nya untuk membuat persediaan rohani dan akhlak.

Rejab berfungsi sebagai bulan kesedaran dan audit diri manakala Syaaban pula sebagai bulan latihan dan pengukuhan amalan sebelum tibanya Ramadan sebagai medan perjuangan yang utama.

Justeru, tempoh ini wajar dimanfaatkan dengan memperbanyakkan doa dan munajat agar diberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan di samping melazimi amalan seperti puasa sunat, mengganti puasa yang tertinggal, memperbanyakkan bacaan al-Quran, menjauhi perkara yang melalaikan serta memberi tumpuan kepada penyucian hati.

Kesemua amalan ini merupakan latihan awal untuk menjinakkan jiwa agar lebih bersedia menyambut Ramadan.

Apabila tiba bulan Ramadan, kelebihan dan keistimewaannya sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Ramadan hadir sebagai bulan penuh keberkatan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda, adanya solat tarawih, adanya Lailatul Qadar yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.

Pada bulan inilah ALLAH SWT membuka pintu keampunan seluas-luasnya, membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka.

Namun demikian, segala keistimewaan ini menuntut kesediaan rohani, keikhlasan niat dan pembinaan akhlak, bukan sekadar peningkatan amalan ritual secara luaran semata-mata.

Bina kesedaran, sikap berjaga-jaga

Oleh itu, sebagai orang beriman, bulan Rejab wajar disambut dengan rasa gembira dan penuh pengharapan sebagai permulaan untuk membina kesedaran serta sikap berjaga-jaga terhadap keadaan diri.

Rejab bukan sekadar bulan yang berlalu seperti bulan-bulan lain tetapi merupakan bulan yang membangkitkan kesedaran hati untuk berubah dan kembali kepada ALLAH SWT.

Justeru, marilah kita menyambut kedatangan bulan Rejab ini dengan hati yang seronok dan disertai tekad untuk melakukan pembaikan diri.

Mudah-mudahan ALLAH SWT mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita untuk benar-benar mengaudit diri pada bulan Rejab ini sebelum tibanya Ramadan.

Jadikan Rejab sebagai titik mula perubahan yang bermakna, bukan sekadar bulan yang berlalu tanpa meninggalkan kesan dalam kehidupan.

***Penulis, Nur Faezah Musthapar merupakan Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pahang

Ringkasan AI

  • Kedatangan bulan Rejab menandakan Ramadan semakin hampir dan harus dimanfaatkan untuk muhasabah diri
  • Rejab merupakan bulan audit diri, kemudian disusuli oleh Syaaban sebagai bulan latihan, dan Ramadan sebagai medan perjuangan
  • Perubahan hanya akan berlaku jika seseorang itu berusaha mengubah diri sendiri, seperti yang ditegaskan dalam Surah ar-Ra’d:11
  • Amalan yang disarankan pada bulan Rejab antaranya adalah membaca doa khusus untuk memohon keberkatan pada Rejab dan Syaaban, serta sampai ke bulan Ramadan
  • Menyambut Rejab dengan gembira sebagai permulaan untuk memperbaiki diri merupakan langkah awal menuju Ramadan

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Puasa, ibadat bermula Rejab, latihan menuju Ramadan

Posted by epondok di Disember 29, 2025

Oleh Nazmi Yaakub

 

REJAB yang menjelma malam ini, bermakna kita sudah berada di landasan bulan yang menuju ke arah madrasah (sekolah) Ramadan al-Mubarak.

Tidak hairanlah sahabat seperti Ibnu Umar RA dan ulama serta ahli sufi, Hasan al-Basri dan Sufyan al-Tsauri bukan saja memperbanyakkan puasa pada bulan itu, bahkan berpuasa penuh.

Bagaimanapun amalan puasa penuh itu perlu digandingkan dengan pandangan Imam Ahmad ibnu Hanbal yang melarang tindakan itu sekiranya individu terbabit tidak biasa berpuasa sebulan.

Larangan itu bertujuan supaya tidak menjejaskan puasa Ramadan kelak akibat kepenatan dan keletihan menunaikannya sebelum bulan barakah berkenaan menjelma.

Tanpa menafikan wujudnya banyak kategori hadis termasuk berstatus daif atau yang terkeluar hingga tergolong sebagai hadis palsu, sebenarnya amalan berpuasa pada Rejab mempunyai dasar dalam agama.

Uthman ibnu Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said ibnu Jubair, iaitu tabiin (pengikut sahabat Nabi SAW) besar mengenai puasa Rejab ketika mereka memasuki bulan itu.

Kelebihan amalan

Said menjawab bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW berpuasa (Rejab) hingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (berpuasa secara terus-menerus) dan Baginda berbuka hingga tidak nampak berpuasa. (HR Muslim)

Dalam menimbang ketika mendengar kelebihan amalan berpuasa pada Rejab, kita perlu mengelak daripada terus menolak dengan melemparkan tuduhan hadis palsu.

Ini kerana ada ganjaran atau kelebihan itu diucapkan oleh tabiin yang belajar dan bersama-sama dengan pengikut sahabat Nabi Muhammad SAW hingga meneliti seluruh kehidupan mereka khususnya dalam soal ibadat.

Pada masa sama, sekiranya sesuatu hadis itu bersifat daif, ia masih boleh diamalkan dengan syarat tidak termasuk dalam status lemah yang melampau atau sesuatu amalan itu bersifat fadha’il a’mal (kelebihan beramal).

Hal itu diterangkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya yang terkenal, al-Azkar, selain turut ditegaskan oleh Imam Baihaqi dalam Kitab al-Madkhal mengenai perbezaan sikap dalam meneliti sanad dan kritikan hadis bergantung kepada persoalan seperti halal-haram atau kelebihan sama ada manusia atau amalan.

Perbanyak ibadat

Malah, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan solat sunat, berzikir dan berdoa seperti yang perlu juga diulangi pada bulan lain.

Selain itu, tilawah dan membaca al-Quran juga dilakukan bermula sekarang untuk membina momentum hingga apabila Ramadan sampai, ia boleh dilipat-gandakan lagi untuk mendapatkan ganjaran besar yang disediakan oleh Allah SWT.

Usaha memperbanyakkan ibadat dalam Rejab ini, lebih bermakna daripada sibuk berdebat dan berpolemik terutama sekiranya hanya semata-mata mahu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Ini kerana ada kalanya, kita diperdaya oleh syaitan supaya membangkit-bangkitkan sesuatu yang bersifat khilafiah atau diperselisihkan dalam agama dengan slogan muluk kononnya menegakkan kebenaran atau mencegah perkara mungkar.

Walhal, syarat kepada orang yang mahu mencegah kemungkaran adalah sesuatu perkara itu tidak termasuk dalam hukum yang bersifat khilafiah.

Apatah lagi, terlalu banyak debat dan polemik boleh menyebabkan orang awam meninggalkan amalan yang mempunyai asas dalam agama itu, sedangkan melakukannya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, umat Islam memperbaiki diri sendiri dengan mendalami ilmu agama dengan cara sebenar dan beramal dengan ilmu yang dipelajari itu, sekali gus berdoa supaya Allah SWT akan mempertemukan kita dengan Ramadan yang mulia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

 
Design a site like this with WordPress.com
Mulakan