Setahun berlalu. Banyak perkara yang berlaku yang ingin saya tulis di sini, tetapi sekadar disimpan sebagai draf, atau hanya berlegar di fikiran. Rasa rugi jugak sebenarnya, kerana apa yang saya fikir ketika itu, mungkin tak akan berulang lagi. Harapnya, pengajaran yang saya dapat dalam siri peristiwa yang berlaku sebelum ini dapat menjadi bekal dan panduan sebagai hamba Allah secara tak langsung.
Mitsaqan ghaliza. Kalimah yang pernah dibaca oleh kebanyakan kita dalam Al-Quran. Seingat saya, saya mula mencari maksud ayat ini bila berjumpa dengan album gambar yang bertajuk ‘Mitsaqan Ghaliza’ di Facebook yang mengandungi gambar-gambar perkahwinan, lantas membaca terjemahan ayat ini bila membaca Al-Quran. Kalimah ini disebut 3 kali dalam Al-Quran:
Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
(4:21)
Dan Kami telah mengangkat gunung Tursina ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri” dan Kami juga perintahkan mereka: “janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu,” dan Kami telah mengambil perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).
(4:154)
(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi(umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka).
(33:7)




