Monday, December 31, 2012

:: Sayonara 2012...

Assalammualaikum...

Bersiaran semula blog Cik Embun ini. Haihhh... perkembangan yang semakin mengurus lagi terbiar jadinya blog ini. Macam Cik Embun ummi, makin mengecut.

Esok, 2013 bakal menjengah. Alhamdulillah, Allah lanjutkan usia dunia ini. 2012, memang tahun yang agak malas ummi nak hapdet blog. Bukan tak ada cerita menarik, tetapi sebabkan daya usaha yang kurang memberangsangkan, makanya hanya beberapa entri sahaja yang terkandung di 2012. Tak apalah, blog ni pun suam-suam kuku sahaja. Hihiii..

Dah alang-alang menyelam ke sini, nak coret sikitlah pasal Alisya. Hmm...makin besar dah nampaknya anak ummi tu. Makin melonjang tinggi, kot-kot lah Alisya boleh berdiri, mau dah nak sampai pinggang ummi rasanya. Pe'el si anak ni, macam biasalah. Adakala sangatlah baiknya tak terperi, ada masa pula... loktang sampai pagi.

Badan Alisya ramai yang dah tegur makin susut. Makannya berselera. Kalau roti tu, tak sabar-sabar menunggu suapan seterusnya. Tapi tulah, dah berat badannya tak mahu naik-naik juga. Tak apalah nak, asalkan kamu sihat, tak mengeras mengejang, senang beraknya, lena tidurnya... ummi dah bersyukur.

Moga-moga 2013 akan membuahkan hasil yang tembam buat Alisya. Dan pastinya ummi abi mengharapkan 'adik' Alisya 'hadir' di 2013 nanti... In Shaa Allah, semuanya atas izin Allah.

Jumpa di kamar 2013!

Monday, November 05, 2012

:: Jumperoo Untuk Dijual

Jika berminat, boleh emel saya di itafarid@gmail.com

Harga kite runding di emel ye.. Jumperoo Alisya.

Suatu masa, ummi berhajat nak milikinya, tapi jumperoo ni tak 'mesra alam' dengan Alisya.

Makanya, dari asyik tersadung kaki ni, ummi berhajat pula nak menjualnya.

Jika berminat, roger-rogerlah ye...

Segala kondisi: Masih baik-baik belaka.

Brand: Fisher-Price.

Oraite....daaaaa


Sedia untuk dijual.

Wednesday, October 10, 2012

:: Hilang Lagi Satu Penyeri Hidup...


Air mata yang berderai
Siapa yang menghapuskan
Hati kering dan gersang
Siapa yang meneduhkan
Sedangkan kau yang ku sayang
Telah pergi dari ku
Dengan cinta dan harapan hidup ku
Oh sayang
Tiada lagi ku dengar kidung mu
Tiada lagi derai tawa mu
Hanya kesepian yang kian
Mencengkam jiwa ku
Malam malam dingin membeku
Hari hari kian kelabu
Dalam doa kudus ku sebut nama mu
Cintaku... Oh sayang
Damailah kau di sana
Di sisi 
Tuhan yang Esa

Aiman dalam kenangan... :'(

Bait-bait lagu dari Lefthanded. Sungguh syahdu, sungguh mengusik jiwa! Lebih-lebih lagi pada mereka yang telah dan pernah kehilangan insan tersayang. Hilang dibawa memori semalam, hilang dari pelukan, hilang dalam terang lagi nyata!

29hb September 2012; Pagi-pagi lagi abang dah menggelabah tak tentu hala mendengar keluhan Zali, (rakan Superkids kami) di hujung talian menyatakan Aiman (anak Zali) berada di Unit Kecemasan, Hospital Serdang.

Bergegas abang menyiapkan diri, lalu menuju ke hospital. Setiba di sana, abang memberitahu kondisi Aiman. Sungguh hati ini dipagut pilu. Bermula dengan demam yang beransur pulih, Aiman tersedak lalu terus mengalami sesak nafas yang agak kronik.

Mama Aiman tersedar jam 5 pagi, melihat keadaan Aiman semakin membiru terus saja mereka menuju ke hospital. Di sana, Aiman diberi oksigen. Lalu doktor yang merawat anak ini tidak memberikan sebarang pengharapan kepada Mama dan Babah Aiman. Hanya perlu berdoa dan bertawaqal pada-Nya.

Seharian family Superkids berkampung di Hospital Serdang. Dengan harapan yang menggunung semoga Aiman kembali sedar dan kuat melawan kesakitan. Kata doktor lagi, hanya tempoh 24jam yang mereka berikan sekiranya Aiman mempunyai tindak balas atau tidak. Ya Allah, kami mohon pertolongan-Mu agar anak ini diberi 'pinjam' kepada kami dengan tempoh yang lebih lama.

30hb September 2012; Jam 6.45pagi, abang menghubungi Zali untuk mengetahui perkembangan Aiman. Kata Babah, Aiman masih bertarung. InsyaAllah, kuat anak ini! Terus abang bersiap mahu keluar atas urusan lain, kemudian mahu ke hospital terus katanya.

Jam 8.30 pagi, abang menghubungi aku lalu menyatakan... "Aiman dah tak ada......" Ya Allah, ujian apakah yang sedang kami semua lalui? Sungguh berat dan pahit untuk kami telan, apatah lagi Babah dan Mama Aiman! Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah...

Jika kesakitan yang amat kami rasakan pagi itu, ku mohon agar Kau kurniakanlah kesabaran yang tinggi, iman yang kuat kepada kedua orang tua Aiman. Sungguh kami belum bersedia untuk kehilangan anakanda Aiman, namun... kuasa Mu Ya Allah, megatasi segalanya. Aiman milik-Mu, Aiman adalah amanah sementara-Mu, Aiman juga adalah pinjaman buat kami. Tiba masanya, hanya Dia yang berhak sepenuhnya.

Terus saja kami ke hospital. Melihat sebujur tubuh nan kaku, dilitupi selimut putih... membuatkan hati ini benar-benar dipagut sayu! Kesedihan ummi tak dapat dibendung lagi. Tak mampu untuk ummi menahan hati nan sedih, apatah lagi melihatkan Mama Aiman setia di sisi anaknya sedang teresak-esak menahan kesedihan. Redha dalam keterpaksaan. Sangat-sangat sedih!

Pelbagai kenangan terimbas kembali pagi itu. Kenangan bagaimana ummi dan abi mengenali anak bernama Aiman, kenangan kami pergi bercuti, kenangan kami keluar makan bersama, berhujung minggu bersama. Ya Allah, sungguh banyak Aiman tinggalkan kenangan dengan kami! Apakan daya, Allah lebih menyayangi Aiman. Dan itu hak Dia.

Seharian family Superkids berada di Dengkil, rumah Aiman. Kami menunggu sehingga selesai semuanya. Dua orang ibu yang pernah kehilangan anak tersayang turut bersama. Mummy Alanna Qish (Ayu) dan Mama Annisa (Kak Sham) sama-sama berkongsi kesedihan dan 'pengalaman' atas sebuah kehilangan. Mereka ini adalah ibu-ibu yang kuat, teruji dengan pelbagai pancaroba hidup dan lebih memeritkan dengan ujian kematian. Tak dapat aku bayangkan bagaimana rasanya berada di tempat mereka. Mungkin Allah selitkan jua kekuatan atas apa yang berlaku.

Demikianlah perjalanan hidup kita di bumi Allah ini. Setiap yang dipinjam, haruslah dipulangkan. Setiap yang sihat, pasti melalui sakit. Dan setiap yang hidup, akan berakhir dengan mati. Hanya kenangan silam yang menjadi peneman, pengubat di kala kerinduan mencengkam.

Hari ini, hari mereka. Hari mereka menerima takdir Allah yang sangat-sangat pahit untuk dilalui. Mungkin selepas ini takdir kami pula. Entahkan anak, suami atau si isteri yang pergi dahulu, semuanya telah tertulis di Luth Mahfuz. Hanya Dia yang berhak ke atas setiap yang hidup.

Alanna Qish, Ahmad Nuqman Hakimi, Annisa & Muhamad Amar Nazheef, damailah kamu di sana wahai bidadari syurga. Bahagialah kamu di bawah jagaan Nabi Ibrahim AS sehingga kamu bertemu semula dengan ibu dan ayah kamu! Wallahualam...

 Aiman pernah berkunjung ke rumah Wan Ton Alisya @ Seremban.


 Aiman sempat sekali sahaja ke rumah Nenek Cha @ Melaka.


 Kenangan tinggal kenangan. 
Tiada lagi kunjungan kamu ke teratak ummi, abi, Alisya.
Hanya ummi iringi dengan doa moga kamu gembira 
di bawah jagaan Nabi Ibrahim di sana nak.
Sungguh rindu dengan kamu, Aiman!


** Al-Fatihah buat Muhammad Amar Nazheef. (9 August 2008 - 30 September 2012)

Sunday, September 09, 2012

:: Rezeki Allah...

Dalam sukar, ada senang yang Dia selitkan.

Dalam pahit, ada manis yang Dia berikan.

Dalam duka, ada tawa yang Dia kirimkan.

dan

Dalam jerih, ada nikmat yang Dia hulurkan.


Syukur Ya Allah. Andai rezeki buat anakku Alisya telah Kau izinkan, ku mohon semoga ianya diberkati. Andai jalan kesukaran kami telah Kau permudahkan, ku mohon agar ianya dirahmati.

Alhamdulillah! Amin Ya Rabbal A'lamin.....

Doa ummi sentiasa untuk mu anak ku...

Sunday, August 12, 2012

:: Alisya dan Ramadan Kami...

Assalammualaikum...

Hari ni masuklah malam ke-24 kita berpuasa. Subahanllah, sungguh kejap masa berlalu kan? Haruskah Ramadan berlalu sebegitu pantas?

Ramadan kami biasa-biasa aja. Tidak semewah mana apabila berbuka. Pernah hanya berbuka seteguk air, dan sebiji kurma. Semuanya gara-gara kepenatan dan rasa dah cukup kenyang dengan nikmat yang ada. Tiada istilah berbuka di hotel mahupun restoran mewah. Apa yang penting, kami mahu keselesaan buat si anak. Berbuka di rumah lebih sedap, Alisya pun dapat 'luruskan badan' setelah penat seharian meredah jem sana-sini.

Bila dapat pulang ke kedua-dua kampung, rasa indah sungguh. Jemputan iftar di rumah abang dan kakak membuatkan Ramadan begitu bermakna! Ukhuwah sesama adik-beradik pun makin rapat. Alhamdulillah...

Itu sahaja cerita iftar kami.

............................................................................................................................................................

Cerita Alisya pula.

Alhamulillah, Alisya dah dapat kerusi baru. Khas untuk anak-anak CP. Sebelum nak tempah, dah try test dulu kerusi ni kat Alisya. Syukurlah, sesuai untuk si anak. Ummi tempah di facebook - The Helping Hands. Abi tolong setel bab uwwaangg! Hihiii...

Masa ni baru dapat kerusi hikmat... terus lena!

Kerusi ni memang sangat membantu Alisya untuk duduk dengan lebih berhemah. Tidak boleh bersilang kaki, tak boleh nak melentik-liuk dan yang paling best, boleh bawa ke mana-mana saja. Lepas ni, balik kampung Alisya tak berebut kerusi dengan atok-atoknya dah. Alisya dah ada kerusi sendiri lah tok. Kelassss tau!

Sambil berangan-angan Mak Jemah ye!

Cerita lain, ummi dah mula bawa Alisya ke therapy semula. Semoga ada perubahan buat si anak. Ummi dan abi berusaha mana yang mampu dan terdaya nak. Selebihnya kita berserah pada Allah, kerana jika Dia tak mengizinkan, secanggih mana pun perubatan kita cuba, tak mungkin berkesan jua. Wallahualam...

Therapy baru ni, ada guna sejenis tape yang ditampal-tampalkan di sekitar badan Alisya. Nama tape ni; kinesio tape. Atlit-atlit sukan memang menggunakan tape ni. Antara fungsinya; mengurangkan rasa sakit pada otot-otot yang cedera. Kalau nak tahu lebih lanjut, meh baca blog kak Afidah. Nanti ada masa, ummi jelaskan lagi. (lani tengah menaip kat upis, sambil menunggu nak pulang)... Hihiii..


Kinesio tape pertama di kaki Alisya.


Versi leher pula. Ummi tak mampu belikan emas setebal itu, 
cukuplah dengan kinesio tape yang amat power! Hehehee...

Bila ummi dengan abi bawa Alisya jenjalan, 
banyak 'mata' pelik yang singgah. Ummi okey jeee!


Sepenuhnya. Macam gaban dah kan?

Cubaan pertama ke atas Alisya, agak berjaya! Walaupun mulanya memang marah sakan anak ini bilamana dirinya di urut, disentuh oleh orang lain. Cuak jugalah ummi nak mulakan therapy baru ni. Yelah, pusat therapy ni bukan untuk menampal kinesio tape ni semata-mata. Tapi ada juga aktiviti lain yang dilakukan. Ummi ambil seminggu sekali untuk rawatan ni. Mudah-mudahan ada keberkesanannya! Dan moga-moga Allah permudahkan urusan kami. Terima kasih pada ibu Nabila, tak pernah jemu nak share apa pun rawatan untuk anak-anak kami!

Ada satu lagi therapy yang sangat-sangat ummi dan abi nak cuba untuk Alisya. Yakni akupuntur. Sangat mahu! Semoga Allah bukakan jalan untuk rawatan ini. Amin!

Friday, July 20, 2012

:: Ramadan Kareem...

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan Kareem...

Tahun ke lima bersahur, berpuasa dan berbuka bersama suami. Teringat tahun ke dua puasa, Alisya sudah ada dengan kami ketika itu. Dan ketika Ramadan itulah Alisya diserang demam panas. Seminggu ummi dan abi berpuasa, berkampung di hospital. Pengalaman! Tak perlu nak kenang lebih-lebih lah.. kan?

Tahun ini, ummi berdoa semoga Allah mengurniakan rahmat dan seribu hidayah buat kami sekeluarga, menerima ibadah kami, memberkati amalan kami. Juga ummi doakan semoga seluruh umat Islam, hamba Allah mendapat petunjuk dan keberkatan dunia akhirat sempena Ramadan nan mulia ini.

Kepada semua kenalan alam maya yang ummi kenal mahupun tak pernah bersapa, selamat berpuasa ummi ucapkan. Moga-moga kita semua di bawah payungan Allah. Ampun dan maaf jika diri ini pernah tersalah kata, tersilap bicara.

Salam Ramadan al-Muabarak.


Thursday, July 19, 2012

:: 19 Julai, 11 Tahun Chenta...

Hari ni genap 11 tahun ummi abi bercintan-cintun. Macam biasa, memori 19 Julai 2001 masih berdendang-dendang di benak fikiran. Hihiii... zaman bercinta, seronok aje. Siapa tak suka saat dilamun cinta...kan?

11 tahun... kalaulah terus kahwin dulu, Insya'Allah dah ada dah anak-anak ummi yang menginjak bujang ataupun anak dara. Alisya pasti dalam senarai anak-anak ummi tu. Hahahaaa...beranganlah ko ummi oii! Bestkan kalau anak ramai ni. Haihhh!!!

11 tahun... Insya'Allah dan Alhamdulillah, kasih sayang ummi masih sama untuk abi. Chenta pun begitu. Sungguhpun adakala dilema, namun sebaliknya benda itulah yang menambahkan lagi rasa kasih sayang ini. Lagi bertambah bilamana Alisya di sisi.

Syukur Alhamdulillah dengan nikmat yang Allah kurniakan ini. Walaupun hidup kami tak seindah kehidupan si anak raja, walaupun hidup kami tak semewah kehidupan si anak tan sri, walaupun hidup kami tak sesempurna kehidupan keluarga yang normal, namun kebahagiaan kami tetap terukir. Manisnya hidup ini tetap kami nikmati. Alisya juga begitu.

Terima kasih buat suami ku, abi Alisya, kekasih ku, penjaga ku, ketua ku, raja di dalam rumah ku serta pemegang saham terbesar dosa-dosa ku kerana menjaga ummi, mendidik ummi, membahagiakan ummi dan menjadi pelindung ummi dan Alisya. Kami, perempuan-perempuan kepunyaan abi, sangat-sangat sayangkan abi! Dunia akhirat... semoga terus kekal selamanya! Amin Ya Rabbal A'lamin!

Ya Allah, kekalkanlah kami hingga ke Jannah-Mu. Amin!

Tuesday, June 26, 2012

:: Mari Bercerita...

Bismillahirrahmanirrahim...

Dek kerana ada masa terluang sementara menunggu kerja yang bagaikan menunggu durian gugur, mehlah sini... kita bercerita-ceriti tentang seorang budak baik, bernama Alisya dan mak apaknya... yang baik jugak! Muahahahahaa... 

(ummi tak jadilah nak tutup blog, sesekali datang gila ummi... sesekali datang rajin ummi, walaupun sebulan sekali kasi edit post, best pulak layan blog kan...mengong ummi neh! ngengada lebey...)

Cerita pasal Alisya dulu eh. Hari ni, Alisya baik-baik aja. Alhamdulillah, makin senang tidur malamnya, walaupun pesen tidur dah lain. Kalau dulu, lengan ummi jadi 'bantal empuk' dia. Lani... sudah tukar ke perut ummi pula. Lagiklah empuk kan! Sebelum tidur, harus dipeluk. Kemudian, sampai ke pagi kepala Alisya di atas perut ummi ni. Memang ummi tak boleh nak pusing kiri atau kanan sebabnya kalau dialihkan kepala anak ini, maka terjagalah Cik Embun dari tidurnya. Dia ni kalau dah bangun bukan mudah nak suruh tidur balik. Makanya, biarlah Alisya sedap menikmati tidur malam di atas perut ummi yang bolat itu! Hahahahaha!!!

Tidur di kerusi secara duduk, masih menjadi kegemaran Alisya sekali-sekala. Selesa kot bagi dia. Kalau balik kampung ummi kene booking khas satu kerusi buat kamu, dan... dua-dua Atok kalah dengan Alisya! Sebabnya, kerusi 'agung' Atok Anip serta Atok Ai'd automatik akan jadi milik Alisya. Dah sah-sah kerusi Atok-Atok ini yang selesa. Mahaplah Tok ye, Alisya ni kan special case!

Tidur itu nikmat bagi saya, 
walaupun dalam keadaan duduk! Hehehee..


Cerita tidur habis. Cerita lain pula. Bab buang air besar. Sedia maklum, anak ummi ni bukannya mudah nak membuang air besar. Kalau di pam pun, mau berdarah-darah tempat 'tut'  dek kerana Alisya harus meneran sekuat hati. Adakala, sampai air mata ummi pun turut mengalir. Kesian sangat! Ada satu masa, ummi berdoa moga sakit berak Alisya tu, biar ummi yang tanggung. Memang masin mulut si emak kan, esoknya memang ummi rasa payah sangat nak membuang. Mengulas-ngulas mungkin sama seperti yang Alisya alami. Takpe nak, asalkan kamu mudah untuk urusan itu. Ummi tak pernah putus doa kat Allah, moga anak ummi diberi kekuatan dan permudahkan urusan beraknya. (nampak macam kelakar doa ummi ni + ummi tak reti nak buat ayat bunga-bunga bila nak berdoa kat Allah... ummi cuma harap doa ummi sikit sebanyak membantu Alisya. Dan Allah itu kan Maha Pendengar dan Maha Mengasihani! Insya'Allah...)

Mungkin dengan doa ummi yang tak putus-putus itu membuatkan Alisya mudah untuk melalui proses pembuangan air besar. Alhamdulillah, walaupun tidak membuang setiap hari, tapi Alisya mampu meneran dengan mudah. Allah kan Maha Penyayang! Tapi, selain tu ummi beri Alisya minum air suam dengan banyak, ummi beri dia minum jus oren, beri dia rasa yogurt, beri makan betik. Apa saja yang agak-agak senang nak berak, ummi kasi. Alisya pula, dapat manis-manis... makan saja. Hehehe. Moga anak ummi terus mudah nak membuang air besar! (sorrylah erk, ummi belasah cerita kat blog pulak bab-bab membuang neh)

Pasal sekolah Alisya pula. Pun baik-baik aja. Walaupun report kad anak ini menyatakan dia lebih banyak tidur daripada belajar, tapi ummi tetap hepi dan bersyukur. Tido tu memang amalan wajib dia di sekolah. Lain orang ajar, lain kejaannya! Kadang tuh, pulang sekolah memanglah keadaan Alisya agak tak terurus. Dengan rambut diikat macam baru lepas bersalin, pipi bau mahsyam + melekit-lekit. Namun, apa jua keadaan Alisya, ummi bersyukur kerana disebalik keadaan tak terurus itu, masih ada yang sudi menjaga Alisya.

Walaupun tiada kesempurnaan di situ, namun hati ummi tetap lapang bila menghantar Alisya ke sekolah. Hari-hari ummi berdoa semoga Allah melindungi Alisya walau di mana pun anak ummi berada. Biarpun pelbagai kesakitan pernah Alisya 'bawa pulang ke rumah', malah berlarutan hingga seminggu lebih, tapi ummi tetap bersyukur. Syukur kerana kesakitan Alisya alami itu tidaklah seserius mana. (Bukanlah bermakna dah serius, baru nak bertindak... berpada-padalah) Tak dinafikan, luluh hati seorang emak tetap ada bilamana si anak yang paginya dihantar cantik-molek tetapi bila dijemput pulang pada petangnya, keadaan bertukar sadis. Akan tetapi, ummi tetap menarik nafas lega. Lega kerana ummi berfikir... Andai Alisya di bawah jagaan ummi sendiri, belum tentu Alisya sesihat ini. Andai Alisya di rumah bersama ummi, belum pasti tiada kecedaraan yang tak akan berlaku. Dan ummi terus berfikir, Allah pasti melindungi anak ini. Bilamana kita berserah pada Yang Esa dan terus yakin dengan kuasa-Nya, Insya'Allah... Allah mendengar doa si emak.

Lainlah jika Alisya didera, memanglah ummi tak boleh duduk diam. Tapi syukurlah, masih ada yang sudi dan masih ada yang sayang. Jika kita mahukan si anak 'sempurna'... bayarannya adalah berhenti kerja. Pagi petang siang malam, tak perlu buat apa-apa. Belek saja anak itu, kerana jika kita terlalai sedikit pun, mungkin akan ada sesuatu pasti berlaku. Kerana, kita bukanlah emak yang sempurna, apatah lagi mahu mengharapkan kesempurnaan dari orang lain untuk anak kita. Berhati-hati bagaimana sekalipun, tetap kun-faya-kun! Wallahualam. Berdoa pada Allah lebih baik kan?

Pasal kesihatan Alisya. Banyaknya pasal! Hahahaa!!! Lately ni, Alisya lebih banyak mengeras. Sejak daripada jangkitan sakit mata sebulan lalu, Alisya agak berubah sifatnya. Banyak nak marah dari senyum. Senyum hanya bila dibawa berjalan. Ke..... sebab memang dia dah lama tak berjalan? Yelah, hampir 2 bulan tak ronda-ronda Sabtu dengan anak ummi ni. Sakit mata yang kami sekeluarga hadapi membataskan segalanya. Teruk juga kami anak-beranak diserang sakit mata yang makan minggu nak sembuh.

Tengok ubatnya dulu pun dah tak lalu kan?
Ini pun suku dari ubat yang mula-mula. 

Mula dengan Alisya. Entah dari mana jangkitan itu datang, tiba-tiba Alisya kena sakit mata. Habis membengkak + siap luka matanya dan ada sedikit tompokan darah. Risau hati ummi memang tak terkata. Jam 1 pagi paksa abi drive ke hospital, tak mahu tunggu esok dah. Macam-macam imaginasi ummi masa tengok mata Alisya berdarah tu. Kes Alisya disuruh rujuk ke pakar mata hsopital Putrajaya. Belum pun sembuh sakit mata Alisya, abi pula dapat penangannya. Abi tak pernah kena sakit mata sesakit itu katanya. MC lah abi seminggu. Terus, ummi pula dapat panahan yang sama. Ya Allah, sakitnya rasa ya amat, Dia saja yang tahu. Takpelah... adap ajelah sakit tu, nak buat macam mana dah nak kena. Ummi doa Alisya cepat sembuh. Syukur, kesakitan Alisya hanya seminggu lebih. Tapi abi, 2 minggu MC nya, 2 minggu ambil masa nak pulih semula. Ummi pula, 3 minggu!!!  (MC paling lama ummi dapat! Hambekkkk!) Lagi best, mata ummi dua-dua membengkak. Alisya hanya sebelah. Abi tak bengkak langsung, hanya kemerahan. Memang azab + azab + azab rasanya. Asyiklah muka kami berulang-alik ke pakar mata hospital Putrajaya. Pengalaman kan... Macam tu lah nak sihat membesar!

Cukup-cukuplah merasa sakit mata nan melampau itu. Redha! Dan berdoa moga tidak akan berulang lagi. Tak sanggup!

Permulaan sakit mata yang mengerikan.


Semakin membengkak. 
Lantas, anak ini tidak sihat untuk beberapa minggu.


Ummi dan abi pula menyusul. 
Seksa! Namun kami redha.


Gaya kami dok rumah dek kerana 
sakit mata yang melampau!
Gaya Alisya?


Sama lah jugak lagak gaya anak ummi ni!
Bercermin mata sajo! 


Sejak dari kes sakit mata tu lah, Alisya seakan dah lupa pada badannya yang lembut, Alisya macam dah lupa nak senyum. Alisya macam dah hilang 'fokus' dengan rutin hariannya. Risau sangat hati ummi ni. Alisya, maafkan ummi ye nak. Ummi dan abi sedang perlahan-lahan nak cover balik diri kamu seadanya. Mana yang ummi dan abi terdaya nak buat, ummi cuba. Mana yang mampu ummi dan abi usahakan, ummi cuba. Maafkan ummi, maafkan abi. Ummi sayang kamu nak!

** Ummi dan abi masih merangka perancangan buat si anak. Doakan kami! Amin...

Wednesday, May 30, 2012

:: Busan...

Makin malas nak berceloteh di sini.

Makin tiada idea apa yang hendak dikongsikan bersama.

Makin lesu melihat blog sendiri.

Makin lama makin tak ada hati nak berblogging...

Haaaaiiihhh. Tutup sajalah blog ni kan....

:'(

Friday, April 13, 2012

:: Anjer Ummi Dah 4 Tahun ...

Selamat hari lahir anak ummi. 13 April, lebih kurang waktu sebegini, saat ummi menaip entry inilah kamu selamat keluar dari perut ummi!

Lani kamu dah 4 tahun sayang. Sunnguh sekejap masa berlalu. Ummi dah tak mahu mengingati saat-saat getir kita berdua. Biarlah yang terindah terus kita terokai. Ummi mahu bersama kamu hingga hujung dunia! Sungguhpun banyak kesabaran yang perlu ummi tuntut, ummi tetap mahu kamu di sisi.

Hari ini, kamu sudah menjangkau usia 4 tahun. Semoga kesihatan yang baik sentiasa bersama kamu. Semoga anak ummi di bawah lindungan Allah, semoga kamu menjadi anak yang solehah!

Ummi dan abi reviyuuu sangat-sangat!

Wednesday, March 28, 2012

:: Bila Harapan Tinggi Menggunung...

Bukan semua yang kita mahu, akan menjadi milik kita.

Bukan semua yang kita pinta, akan dimakbulkan oleh-Nya.

Bukan semua yang yang diharapkan elok, menjadi elok di akhirnya...


Akan tetapi,


Mungkin yang kita tak mahu itu akan menjadi hak kita yang kekal.

Mungkin yang kita tak pinta itu, akan diberi 'percuma' oleh-Nya.

Dan mungkin, yang tidak elok itulah yang terbaik buat kita sebenarnya...



Allah kan Maha Mengetahui. Maha Mendengar. Ar-Rahman, Ar-Rahim. Arrggghhhhh! Sangat-sangat rindu dengan kehadiran si kecil yang merah gebu kulitya, nyaring merdu tangisannya. Apakan daya, merancang dan terus merancang adalah pekerjaan manusia. Penghujungnya, hanya Allah yang Maha Bijaksana!

Abang, kalau Allah tak beri kita rezeki zuriat seterusnya kali ini, mungkin Allah akan beri pada masa yang lain. Kalau Allah dah tetapkan yang zuriat kita hanya adik seorang, harapnya tiada 'penyesalan dan kesedihan' mengiringi kebahagiaan kita.

Alisya, anak ummi... hari-hari akan ummi sebut yang ummi sangat-sangat sayangkan kamu! Sangat-sangat! Kekurangan kamu, adalah kelebihan di mata ummi. Kekerasan kamu, adalah kelembutan di hati ummi. Ke-amukan kamu, adalah kesabaran di jiwa ummi! Luv u anak!!!


 Ada gaya nak jadi 'Kak Long' ke macam ni?
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui!

Monday, March 26, 2012

:: Cuba Untuk Menulis...

Lagi 5 minit ke pukul 10 malam. Kedudukan aku; Masih di ofis. Turn untuk stanby telah tiba. Harus aku sahut cabaran ini merangkap tanggungjawab selagi bergelar kuli yang makan gaji! (Keje ummi umpama pak guard supermarket! Kene stanby bila masa itu tiba...) Hahahaaa!

Dah 3 bulan berlalu dalam kalendar 2012. Tapi, blog aku ni seakan-akan 'hidup segan, mati tak mahu'! Haiisshhhh... orang lain sebulan 30 cerita. Aku??? 3 bulan baru nak ada 3 cerita! Hahahaa... takpelah, asal aku enjoy untuk mencoret di sini.

Tiba-tiba terasa rindu yang amat pada Alisya. Entah apalah yang dibuatnya dengan abi kat rumah. Semalam pun ummi kene kerja. Kata abi, semasa ummi keluar berkerja... abi dan Alisya main lari-lari jogging dalam rumah. Bila ummi balik, abi lakonkan semula watak abi tadi. Hehehe... Abi dukung Alisya, kemudian lari-lari anak keluar masuk bilik terus ke ruang tamu. Keluar masuk bilik, kemudian ke ruang tamu semula. Maklumlah, rumah kami tiada tanah. Luas pun tidak. Situ-situ ajalah tempat nak bermain dengan Alisya. Reaksi Alisya? Kemain tersenyum-senyum anak ummi! Makin fahamlah tuh. Kata pergi sekolah, haruslah ada kemajuan. Tak banyak, sedikit pun ummi bersyukur!

 Rindu dak ni!


Gitulah Alisya. Siang hari memang baik sangat-sangat. Mulutnya asyik ternganga-nganga nak bercakap. Tapi suaranya aja masih belum tersembul keluar. Hehehee. Ekoran matanya... time relax, time kita berguaru-senda, sangat-sangatlah eye level! Alhamdulillah. Walaupun bukan sepanjang masa keadaan Alisya elok, namun ummi tetap panjatkan rasa syukur itu kepada Yang Maha Esa!

Tapi.... bila malam menjelma, agak payah ummi nak menduga sikap Alisya ni. Tak apalah nak, macam mana sekalipun, ummi tetap harus bersabar. Tidur duduk, tidur mengiring sepanjang malam, tidur kepala terlentok bagaikan itik kene gantung, tidur tatkala tangan ummi terhimpit kerana menampung kepala kamu... itu semua ummi dah  biasa. Memang dah jadi mainan tidur ummi! Hehehee. Kesabaran adalah kunci untuk ummi terus membesarkan kamu! Selagi iman di dada, ini yang ummi pohon dari Allah. Agar kesabaran ummi masih bertahan! Insya'Allah... (bila boleh balik niiiiiiii?????)

** Bersyukur itu kan lebih baik daripada merungut??? Wallahualam.

Haaiihhhh... cair jantom ummi!

Wednesday, March 14, 2012

:: Ouhh, Sudah Setahun Rupanya!

Entry ummi merapu!

Kata seorang teman... "Kita tak kesah Allah beri anak istimewa, kita terima. Dah rezeki, tapi andaikata kita pergi dulu sebelum mereka, siapa yang nak tolong jaga anak-anak ni?"

Antara perkara yang selalu aku fikirkan. Walaupun tak pernah berbincang secara menyeluruh dengan abang, tapi sebagai ummi... harus hati ini risau. Ajal maut di tangan Allah. Sememangnya aku sentiasa berdoa agar aku, abang dan Alisya akan 'pergi' bersama. Mahu disemadikan dalam liang yang sama. Mahu ditalkinkan dalam bacaan yang sama. Itupun andai doa ini diperkenankan Allah. Wallahualam.

Isu yang ingin aku coretkan bukanlah kerana hidup atau pun mati. Cumanya aku teringat akan suatu peristiwa yang sangat-sangat menyayat hati kecil ku setahun yang lalu! Belum pun aku dan abang dijemput Allah, namun sudah dapat aku rasakan yang Alisya diperlakukan seperti patung tidak bernyawa! Sungguh luluh hati ini tatkala melihat sendiri anak ini 'bagaikan mahu dibuang, dinyahkan' dari tempat yang selesa. Ahhhh... malas nak ingat memori itu. Pasti aku hiba apa yang diperlakukan kepada Alisya tanggal 22 Februari 2011 nan lalu! Biarlah Allah sahaja yang akan membalasnya walaupun tangisan teresak-esak anakku ketika itu masih segar diingatan! Menci!!!

Agak-agaklah, malu tak jika kalian punyai anak istimewa? Malukah kalian mendukung anak seperti Alisya di khalayak ramai, yang mana matanya hanya tahu memandang ke atas? Malukah kalian menolak pram anak di tempat awam, tatkala anak kalian mengejang-ngejangkan kakinya? Malukah kalian untuk membawa si anak ke tempat kerja yang mana akan ramai rakan taulan di pejabat bertanyakan perihal anak kalian? Kenapa begini, kenapa asek pandang kiri, kenapa asek mengeras? Malukah kalian???

Sutau masa dahulu, hati ini seakan tidak percaya dengan takdir yang tertulis. Suatu masa dahulu, hati kecil ini seakan menepis segala qada' dan qadar yang ditetapkan Allah. Subahanallah! Dan suatu masa dahulu, hati seorang bernama ummi seakan tidak mahu menerima kenyataan bahawa anaknya tidak seperti yang 'didoakan'! Astagfirullahala'zim... Sungguh jahil rasanya! Maafkan hamba-Mu ini Ya Allah! Aku hanyut dengan perasaan, aku tidak hirau dengan 'pemberian nikmat'-Mu ini! Semahunya, aku tidak dapat menerima keadaan yang telah Engkau tentukan dulu!

Namun, syukur ke hadrat Allah. Hati ummi sudah semakin tenang, semakin alah bisa tegal biasa dengan 'nikmat' tak terperi daripada-Nya ini! Ummi dah lama redha, syukur... Allah bukakan pintu hati ummi untuk menerima seadanya 'amanah' bernama Alisya Qaireen ini!

Adik, ummi akan jaga adik selagi hayat ummi dikandung badan, dipinjamkan Allah selama mungkin.
Adik, ummi tak akan sesekali membiarkan nasib kamu dilambung badai!
Adik, tak kesahlah kalau ummi ditakdirkan hanya mempunyai zuriat nan satu ini seumpama adik!
Adik, tak kesahlah kalau ummi harus merentasi jem sana sini untuk mengambil dan menghantar adik ke sekolah, jika itu akan membuatkan adik menikmati kegembiraan secara 'batin'!
Adik, ummi tak kesah jika ummi terpaksa mendukung adik 20 tahun lagi. Cuma doa ummi, semoga kudrat ummi sekuat ummi berusia 15 tahun dahulu!
Adik, ummi tak kesah dah bilamana lengan ummi dah sama besar dengan abi, walaupun tak pernah sekali ummi prektis angkat besi-besi abi! Asalkan ummi dapat tampung kepala adik untuk kita tidur malam dalam keadaan berpelukan!
Adik, ummi dah tak heran kalau ummi bawa adik jalan-jalan, banyak mata yang memandang. Kerana mungkin jelingan tajam mata itu diiringi dengan doa di dalam hati mereka yang memandang. Amin untuk doa-doa itu!
Adik, bagaimana pun rupa bentuk adik kelak, ummi redha. Dan ummi tetap akan terus berusaha untuk adik. Mungkin Allah 'utuskan' adik pada ummi dan abi, sebagai persiapan kami untuk melangkah bersama-sama ke syurga nanti! Insya'Allah anak ku!
Adiklah penyeri bagi ikatan cinta ummi dan abi! Luv you anak!


 Cayam kamu dan kamu!

Friday, February 17, 2012

:: Allah Menguji Hamba-Nya...

Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati
Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Bait-bait dalam lagu Hamba-Mu. Sungguh terkesan lagu ini dihati ummi. Demi seorang anak yang 'dipinjamkan' Allah, demi ketabahan hati yang sering diuji, demi sebuah kehidupan yang lebih baik buat si anak dan demi kerana kita ini hamba Allah! Segala yang diusahakan, harus diiringi dengan doa kemudian berserah dan bertawakal agar Allah memperkenankan permintaan kita itu. Namun, perancangan Allah jauh lebih baik daripada apa yang kita harapkan.

Allah berhak memilih siapa pun di kalangan kita untuk diuji sejauh mana keimanan seseorang itu. Sakit dan sihat juga ujian, miskin dan kaya juga ujian, susah mahupun senang juga ujian. Segala yang berlaku di muka bumi ini adalah dengan izin Allah. Wallahualam!

 Rezeki dan anugerah dari Allah! Juga ujian buat ummi dan abi!


** Sangat lama tak menulis. Dan sangat banyak sebenarnya yang tersimpan di draft. Tapi, entah mengapa... seakan mood tidak hadir.

Tuesday, January 17, 2012

:: Jadual Ummi Berubah...

Lama benar tidak bersembang sepenuhnya. Entah mengapa tiada kata-kata yang dapat diluahkan sehabisnya. Mungkin kerana keletihan, mungkin tiada mood dan mungkin juga jadual harianku sudah semakin berlainan.

Jadual apakah? Rutin harianku sememangnya bertukar semenjak Encik Suami bertukar ke tempet kerja yang baru. Abang semakin menjadi 'orang'! Alhamdulillah, syukur sangat-sangat dengan rezeki yang Allah tentukan ini.

Sejak dua menjak ini, tidurku tidak tentu timingnya. Alisya, jam 11 malam sudah lena. Mata ku pula akan terlelap pada jam 12 malam. Dan pada waktu itu jugalah anakku bagaikan menjadi 'Cinderella'. Dengan automatiknya Cik Embun akan terjaga, terus mengamok sakan! Selang sejam pasti terjaga semula... entah mana yang tidak kena sungguh aku tak pasti. Kadang mahu tidur berkepit, kadang mahu dicelah ketiak ummi dan kadang-kala mahu tidur duduk! Badan ummi dah semakin sakit-sakit! Sebabnya tidurku bukan di katil empuk, tetapi hanya beralaskan karpet. Asalkan si anak lena. Kemudian, aku harus bangun seawal 5.30 pagi. Adakala pasti terlajak. Jika dulu, selagi tak jumpa 'subuh gajah'... selagi tu lena diulit mimpi dengan 'setan'! Astagfirullah! Sungguh buduh dan jahat rasanya! Dahsat kan ummi?

Hari ini, Alhamdulillah. Rutin yang baru ini sudah semakin sebati dengan diri. Tambahan lagi, jadual kerja ofis juga berubah. Aku pula yang sering pulang lewat malam. Abang... jam 7 malam sudah berada di rumah. Ibarat dah cantik pakai 'kain batik'! Hahahaaa. harapnya abang memahami kenapa ayang sering pulang lewat. Walaupun tidak cukup 8 jam aku lena, walaupun susup-sasap men-drive di celah malam gelap, namun aku redha. Mungkin beginilah yang emak rasakan dulu. Sering tidak cukup tidur, menjaga anak-anak sehingga lewat malam. Adil lah rasanya bilamana aku pula yang merasa semua perit-getir hidup ini.

Harapnya masa untuk bersama family tetap ada, tetap akan diperuntukkan sebaiknya. Abang, ayang berkerja ni pun... ikhlas nak membantu meringankan beban abang. Andainya cukup sudah rezeki kita, cukup sudah gaji abang untuk menampung family kita, akan ayang segera menghantar surat perletakan jawatan! Serta-merta ayang resign! Akan ku tunggu saat itu muncul. Insya'Allah... suatu hari nanti pasti akan tiba. Ayang mahu berada di rumah sentiasa, menjaga dan membesarkan anak-anak kita. Doakan semoga ianya menjadi nyata.


 Sentiasa ku rindu! Dialah nyawaku!


Dan ini, umpama 'reward' untuk diri sendiri!


 ** Mode sekarang; Nak balik sebab rindu Cik Embun dan apaknya!

Tuesday, January 03, 2012

:: 3-1 untuk 31...

Apakah? Hari lahir ku yang ke 31 yakni pada 3 haribulan 1... yakni hari ini!

Manyakkk nye umur emak Cik Embun neh! Makin meningkat... seiring dengan peningkatan berat badan! Muahahaaaa...

Takpelah, asalkan hati ini ceria, bahagia bersama suami, anak serta keluarga tercinta dan hidup dilimpahi rahmat dari Allah s.w.t!

Tiada apa yang mahu dipinta sempena hari lahir ke 31 ini, hanya berdoa moga Dia 'memberikan semula' rezeki berupa zuriat yang ke-2. (Ikutkan yang ke-3 lah)... Hati ini masih merindui akan saat ketika bilamana dikhabarkan berita gembira yakni ada 'janin' di dalam rahim ini. Namun, kita merancang sehabis baik, Dia tetap menentukan semuanya.

Selamat hari lahir Ita Zakaria!!!

Semoga angka 2012 memberi sinar dan nur buat kami sekeluarga!