Semenjak akhir akhir ini Tuan Dong lebih suka duduk di varandah pangsapuri tingkat 3 nya. Duduk duduk yang lama. Memerhati awan atau menghidu harum kelopak magnolia yang sekali sekala hadir dibawa semilir angin sungai Xingjiang.
Tuan Dong kini suka bersendirian. Duduk termenung. Jika dulu seusai kerja di pelabuhan ikan, dia akan singgah di Kedai Hailan, dia akan duduk dengan kawan kawan sepejabat, mereka akan memesan xintao dan mabuk mabuk sehingga tebing sungai sudah berbalam dicium senja. Atau, mereka akan pergi memesan keting khinzir yang direneh di dalam sup herba, ramuan special kedai makan Wang Lian.
Kini tidak lagi. Tuan Dong pun tidak tahu atas kerana apa dia mula suka bersendirian. Duduk atau berdiri di varandah pangsapurinya. Memerhati awan di kolong langit, memerhati sungai Xingjiang, melihat burung burung terbang berkumpulan melewati cerobong rumah arangbatu nun jauh di utara.
Apa yang dia rasa ialah dia suka bermonolog. melihat susurgalur hidup dan membilang line line keterbatasan. Hidup adalah perjalanan menonong satu hala yang akhirnya cuma satu lorong menuju rumah krematorium. Selain itu semua, yang ada ialah keting khinzir yang direneh di dalam sup herba dan xintao cuma.