Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Uncategorized’ Category

kerana dakwah ini KITA tanggung bersama
Oleh:  Izzat Hafifie

syukur kepadamu Ilahi
dengan izinmu kami disini
tidak kami berbangga diri
menyerah hidup sebagai daie

daie itu bukan gelaran
bukan juga beban
tapi fitrah hidup insan
yang mengenal kehendak Tuhan

menjadi pemimpin bukannya mudah
bila yang dipimpin banyak karenah
namun ini kukira amanah
atas rezekimu yang melimpah ruah

jadilah kalian,
pemimpin yang beraqidah mapan,
berakhlak ikutan,
tajam akal fikiran,
tinggi kesabaran,
kuat tubuh badan,
dan amanah dalam pekerjaan.

sungguh islam dibina atas hujah,
bukan taklid buta semata.

biar hidup tidak berharta,
tapi cukup bekal membeli syurga,
biar hidup dihina manusia,
tapi darajatnya tinggi disisi yang Esa.

sungguh islam bukan lemah,
islam adalah agama dakwah,
umat islam adalah qudwah.

tegakkanlah kebenaran,
walaupun ia tidak menyebelahi kalian,
berkatalah benar,
walaupun tidak dibenar

sedikit bukan bermakna kalah,
sedikit bukan bermakna lemah,
pelik bukan bermakna salah,
muda bukan bermakna mentah.

wujudkan suatu biah,
yang berpaksi Al-Quran dan Sunnah,
agar islam bukan lagi fitnah,
dan agama hanya milik Allah.

ikhlaskan niat ikut Rasulullah,
agar usaha dinilai ibadah.

rapatkan saf semangat jangan goyah
kota yang telah roboh harus dibina semula
jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
di sebalik pahit getir kemenangan menanti

kemenangan itu sudah pasti
namun bila tidak diketahui
mungkinkah ia tujuh generasi
mungkin juga menuntut mati

mari disusun kaki biar rapat
agar ditolak tidak jatuh
angin ribut kekal utuh
patah sayap bertongkat paruh

kalau berjalan biar seirama
dibelakang mengejar didepan menunggu
kalau berlari biar bersama
agar terasa nikmat bersatu

medan kita mungkin berbeza
tapi tempat tuju kita sama
di cubit kiri kanan terasa
kerana dakwah ini KITA tanggung bersama…

Read Full Post »

bukan style kita

Sehebat mana kerinduan saya kepada tanahair tercinta, sebesar itu jugalah kegundahan saya terhadap apa yang sedang berlaku sekarang.

.

Saya berkongsi rasa tidak puas hati, sensitif dan sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Lau Bee Lan yang meluluskan permohonan akhbar mingguan The Herald untuk menggunakan nama ‘Allah’ bagi menggantikan perkataan ‘God’ dalam terjemahan bahasa Melayunya. Silalah baca laman-laman web para ustaz dan murabbi kita yang begitu banyak menyelami perbincangan ini. Mereka sudah pun berusaha dengan penuh dedikasi untuk menjelaskan secara ringkas supaya dapat difahami oleh kita yang tidak ada asas dalam ilmu pengajian islam. Tinggal baca sahaja. Jangan malas. Kepada saudara-saudara seiman yang saya kasihi, kita mesti banyakkan membaca, jangan lupa ambil tahu isu umat Islam, isu dunia. Oddly enough, jangan sampai kita jadi katak bawah tempurung walaupun ada internet access broadband 24 jam.

.

Namun yang lebih lagi membuatkan saya merasa sesak nafas adalah tindakan sebahagian orang, golongan minoriti yang memburukkan lagi imej islam. Kenapa pula diserang gereja-gereja? Kenapa dibakar kuil-kuil? Saya juga kecewa dengan keputusan mahkamah itu, namun saya tetap mengeji reaksi keganasan yang dipamerkan. Jikalau yang melakukannya adalah muslim yang sedang emosi, maka harus diajar akan kaedah dakwah yang sebetulnya. Kemaafan mesti dipohon, gantirugi mesti dibayar. Namun, mungkin juga harus disiasat benarkah ia dilakukan oleh orang islam sepertimana jari dituding?

.

Minggu ini juga di Britain, satu insiden telah berlaku. Adalah satu tradisi di bandar Wootton Basset untuk mengadakan perarakan bagi memperingati askar-askar British yang terkorban dalam peperangan di serata dunia. Sekumpulan orang Islam telah menghadiri perarakan tersebut sambil mengangkat sepanduk yang menghina askar-askar British tersebut,  kerana terlibat dalam perang di Iraq, Pakistan dan Afghanistan. Sudah tentu tindakan itu menghiris hati dan memilukan keluarga dan balu para askar yang ditinggalkan yang hadir ke perarakan tersebut. Hasilnya, ketegangan timbul  serta-merta. Kekecohan berlaku. Islam dikutuk dan dibenci. Saya juga hiba dengan nasib umat saya di Iraq, Pakistan dan Afghan, mereka adalah keluarga saya, tetapi saya tetap mengeji tindakan Muslim yang menimbulkan kekecohan di majlis peringatan dan pengebumian itu.

.

Tidak ada siapa mendapat manfaat dari tindakan-tindakan sebegitu kecuali musuh Islam. Ya, ada masanya kita perlu tunjukkan umat Islam ini ada pendirian dan bukan diam membatu sahaja bila ditindas, tetapi ada caranya. Ada tertibnya. Ada masanya. Sabarlah.

.

Sebenarnya dakwah kita ini dakwah hati. Untuk berdakwah, sememangnya kita harus memenangi hati manusia, selagi mana ia tidak mengkompromi prinsip Islam yang kita imani. Kalau kita mengutuk, menyindir, bercakap kasar/pedas, menceritakan keaiban dan keburukan orang, kononnya untuk menyedarkan, itu bukan dakwah. Bukan. Bukan. Itu namanya menyakiti. Itu bukan style kita.

.

Sungguh, tidak ada dakwah tanpa kasih-sayang. Kalau kita tidak dapat mengasihi manusia itu, kita tidak akan mampu mendakwahnya membawanya kepada Allah. Hinggakan, kerana kasih-sayang ini, kita tidak akan fikir dua kali pun untuk mengorbankan duit kita, tenaga kita dan masa kita untuknya, demi membawanya kepada Allah Taala. Apa saja – mintalah – kita akan sudi memberi, our anything and everything, as long as it brings you and me closer to Allah. 

.

Pelikkan?
Kenapa kita sampai macam tu? Seandainya mereka di luar sana tahu apa yang terbuku di hati kita… seandainya mereka mengerti rasa hati yang mencengkam ini… yang menyebabkan air mata kita bercucuran selalu… melihat keterukan umat. Mungkin itulah yang dirasakan oleh Rasulullah saw ketika memikul dakwah ini semasa hayatnya dulu, hingga baginda tidak kisah pun untuk korbankan nyawanya.

.

Siapa faham?
Siapa pernah rasa, mesti dia takkan duduk diam lagi. Demi keimanan ini, rasa hiba ini, kasih-sayang ini.. kita kuatkan juga kaki kita melangkah, kita gagahkan jua, plan dan fikir sampai tak tidur malam, kita tebalkan muka dan telinga, kita korekkk poket kita sampai kosong. Kemudian kita serahkannya kepada Allah untuk membuka hati-hati tersebut, biar tersentuh.  Kita sebut nama mereka dalam doa kita. Kita panjatkan harapan kepada Allah setinggi angkasa. Dan esok pagi bila bertemu dengan mereka, kita senyum lagi. Kita usaha lagi.

.

Itulah dakwah. Kita ajak orang kepada Allah. Je. Allah je. 
Susah. Kene bersungguh. Kalau nak buat.
Siapa sanggup?

.

~ dakwah ini bukan hobi masa lapang

.

sekadar berkongsi rasa.

Read Full Post »

Kuliyyah Online

Majlis Syura Muslimun UK & Eire

Thursday, 7th January 2010

8.30pm (UK & EIRE time)

—–

Topic:

“Anas bin Malik“

(Companion of The Prophet s.a.w.)

—–

Speaker:

Ustaz Mazrul

—–

Language:

Malay

—–

Format:

Talk: 45 minutes

Q&A : 15 minutes

—–

Who can listen/join the discussion?

Anyone from anywhere in the world.

Please observe good ethics and advice from moderators.

—–

How to Listen:

Live Broadcast via:

Paltalk

Download Paltak at www.paltalk. com


Invitations will be sent out 15 mins before.

To join, pls send a request (including your PALTALK ID) to:

Moderator : msmkuliyyah

Read Full Post »

nak pegi mana tu?

Muhasabah diri. Itu kuncinya. Kita banyak kurang. Banyak cacat-cela. Banyak yang tidak betulnya. Melangkah juga sangat perlahan. Sudahlah lambat, banyak pula tersadungnya. Bahkan tidak kurang tersalah jalan. Bila menilai banyak yang silap. Bila memimpin, banyak tidak menjadi.

.

Mungkin bagi yang memerhati, silakanlah bertanya ‘nak pegi mana tu?’. Tolonglah selalu periksa dan tegur  – jalannya, langkahnya. Mana yang sesat, mana yang sumbang. Supaya belum jauh menyimpangnya untuk berpatah balik. Ad-deenun nasihah kan..

.

Kita mesti selalu cermin diri. Cuma kadang-kadang, memang tahu dah nampak tak comel, tapi tak ada kekuatan nak cantikkan, atau tak tahu macam mana nak betulkan.  Sebab itu kita perlu kepada orang lain, saudara-saudara yang solehah, kawan-kawan yang baik, hatta musuh sekali pun… SESIAPA saja yang melihat kelemahan diri ini dan sudi membetulkan.

 .

Pahit atau manis, kepada mereka, kita tetap berhutang budi. Terima kasih saja tidak cukup.

.

Kerana inilah tarbiyyah.
Orang yang mahukan tarbiyyah ialah orang yang telah bersedia untuk dinasihati, ditegur, dikritik, dibetulkan. Kita rela untuk dinilai untuk dibina. Kita membuang prasangka dan melempar ego. Kita melihat kebenaran yang diperkatakan, tanpa menghukum siapa yang berkata. Kerana kita penjunjung kebenaran. Kita penjulang al-haq. Kita anggap semuanya adalah dari Allah. Kerana kita buat semuanya demi Allah.. kan?

Adakah kita sudah bersedia untuk ditarbiyyah?

Astaghfirullah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullahal adzim.

Read Full Post »

hakikat hamba

Salam AidilAdha 1430 Hijriah kepada semua saudara-saudara seiman yang saya kasihi. Sempena hari mulia ini, sukalah saya untuk menuliskan secebis kisah dari Surah Al-Saffat untuk tatapan semua. Moga bermanfaat dan membangun jiwa. .

“Dan Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.’ ” (Al-Saffat : ayat 99)

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.” (Al-Saffat: ayat 100)

“Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.” (Al-Saffat: ayat 101)

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur yang sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!’, Dia menjawab ‘Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, inshaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.’ “ (Al-Saffat: ayat 102)

“Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas di atas tengkuk(nya), (nyatalah kesabaran kedua-duanya)” (Al-Saffat: ayat 103)

“Dan Kami panggillah dia: ‘Wahai Ibrahim, ” (Al-Saffat: ayat 104)

“Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Saffat: ayat 105)

“Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.” (Al-Saffat: ayat 106)

“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Al-Saffat: ayat 107)

“Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (Al-Saffat: ayat 108)

“iaitu: ‘Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim’ ” (Al-Saffat: ayat 109)

“Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Saffat : ayat 110)

“Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.” (Al-Saffat: ayat 111)

.

Inilah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Allah ceritakan untuk kita ‘orang-orang yang datang kemudian’. Begitu benarnya dan tulusnya ucapan-ucapan dari bibir mereka, hingga Allah mengabadikan dialog perbualan antara mereka berdua di dalam Al-Quran untuk kita pelajari dan selami. Memetik kata-kata Nabi Ismail yang masih muda, yang Allah mengiyakannya sebagai ‘anak yang amat sabar’, mempamerkan keimanan setanding ayahnya..
‘..Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, inshaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.’
(Apalah pula agaknya nilai kata-kata yang keluar dari bibir kita? recording in progress by Rokib & Atid)

.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membuktikan penyerahan diri yang penuh kepada Allah SWT. Seseorang yang menyerahkan dan menundukkan jiwanya, jasadnya, hartanya, hidupnya dan segala-gala yang dimiliki untuk Allah, itulah dia seorang Muslim. Telah nampak hakikat kehambaan yang sejati dalam kisah ini. Bahawa sang hamba tidak ada pilihan kecuali untuk taat patuh secara tulus kepada Tuhannya, walau apapun yang terjadi. Ini suatu teladan kehambaan yang mesti ditiru setiap orang beriman yang berjuang mengejar darjat kehambaan, merasa bahawa Allah itu Maha Agung dalam hatinya.

.

Dan tidak ada jalan lain untuk merasa hamba, melainkan dengan taat yang total, tanpa soal, tanpa takut-takut dan tanpa ragu kepada setiap perintah Tuhannya – seperti Ibrahim, seperti Ismail dan tidak lupa, seperti ibu Nabi Ismail, Hajar ketika ia akur ditinggalkan di tengah-tengah gurun dahulu.

.

Kerana itu, Allah membuat persaksian, satu pengisytiharan yang mulia dalam ayat seterusnya,
“Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.” (Al-Saffat: ayat 111)

.

Hebatnya pengorbanan mereka, Allah mengabadikan kisah keluarga ini – percakapannya, perlakuannya bahkan lokasinya dalam ibadah haji dan korban, serta dijadikan hari raya AidilAdha. Supaya setiap Muslim akan bercermin kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pada setiap tahun.

.

Ia bukan sekadar tentang ritual ibadah atau adat berhari raya. Ini kisah kehambaan, kisah ketaatan dan kisah kecintaan kepada Allah SWT. Moga kita dapat membangun semangat dan jiwa kehambaan persis Nabi Ibrahim dan Ismail dalam hidup kita sehari-hari.

~ Salam AidilAdha dari Maktab Media

Read Full Post »

Ababil oh Ababil

1400 tahun lalu, Rasulullah saw telah memberitahu, bahawa kita, umat baginda, akan ditimpa satu keadaan yang sangat teruk.

“Hampir tiba masanya, semua umat yang ada akan merebutkan kalian, sepertimana pemangsa mengerumuni hidangan.”
Seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana bilangan kami (umat Islam) ketika itu sedikit, ya Rasulullah?”.
Baginda menjawab, “Tidak,bahkan jumlah kalian amat banyak. Namun, keadaan kalian seperti buih di lautan. Allah mencabut dari hati musuh-musuh rasa takut terhadap kalian, lalu Dia memasukkan Wahn ke dalam hati kalian.”
Sahabat bertanya lagi,”Apakah Wahn itu?”
Baginda menjawab,”Cinta dunia dan takut mati.”.
(Hadith riwayat Abu Dawud)

.

muslim_map
Apa pendapat kawan-kawan? Sudah tibakah zaman itu? Bukankah kata-kata Rasulullah saw itu sudah menjadi realiti hari ini? Bilangan kita 1.5 billion, di kalangan penduduk dunia yang jumlahnya 6 billion. Namun, jika ditelusuri keadaan umat Islam sepanjang 25 tahun sahaja hidup saya yang pendek ini, cukup untuk membuatkan airmata kita tidak sempat mengering. Kisah-kisah pembunuhan dan penindasan ahli keluarga kita di serata tempat, seluruh pelosok dunia yang bagaikan ‘sudah terang lagi bersuluh’. Bosnia, Chechnya, Afghanistan, Pattani, Tunisia, Kashmir, Lubnan, Iraq, Palestin, Uzbekistan, China dan… sungguh senarai ini masih panjang.

Oh…Kenapa orang-orang semua nak bunuh kita ???

……

Kita semua belajar cerita Abrahah masa Sirah darjah 1, kisah tentera bergajah  diketuai oleh Abrahah itu, yang mahu menghancurkan Kaabah. Kemudian Allah mengutuskan burung-burung Ababil yang mencampakkan batu-batuan panas untuk melenyapkan angkatan jahat itu dari muka bumi!
Tapi …
kenapa dunia kita jadi begini sekarang?
Oh di manakah burung-burung Ababil itu?
Kenapa Ababil tidak datang menghancurkan tentera Serbia semasa penyembelihan ratusan ribu umat Islam Bosnia?
Kenapa laut tidak menenggelamkan kapal perang Perancis dan Amerika yang menyerang sepertimana ia pernah menenggelamkan batalion tentera Firaun?

.

Namun …
h1n1Yang kelihatan cumalah umat Islam terus-terusan dibantai dan dianiaya. Satu-persatu. Dari satu negara ke satu negara. Ia seperti wabak yang lebih dahsyat dari H1N1, umpama penyakit yang tiada sembuh-sembuhnya, merebak tiada hentinya. Ini mimpi ngeri yang sangat panjang. Kita dikerumuni musuh dari segenap penjuru – dari luar, bahkan dari dalam juga, termasuk dari kalangan orang yang mengaku Islam. Kita seperti menjerit dan bertanya-tanya dalam ketakutan..
di manakah pertolongan Allah ?!

.

Saudara-saudara seiman yang saya cintai dan muliakan, wahai umat Nabi Muhammad!

Kita teliti semula firman Allah yang diwahyukan kepada Nabi kita, Nabi Muhammad saw:

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad:ayat 7)

Sesiapa yang di dalam hatinya sudah jelik dan jijik dengan kerosakan dunia hari ini, merindukan kembalinya kebenaran, mengangankan kesejahteraan dunia ini dalam cahaya Islam, maka dia mesti memahami ayat di atas! Di dalam ayat ini, yang ditujukan kepada kita umat Rasul terakhir, tertulis satu rahsia besar, satu sunnatullah, satu syariat, untuk kita menang. Berdasarkan firman Allah tersebut, jika dan HANYA jika kita
menolong agama Allah’
terlebih dahulu (dgn berusaha habis-habisan, sehabis daya, bersungguh-sungguh, sampai penat, sampai pengsan, sampai mati),
barulah

‘nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.’

.

Kenapa begitu? Kerana Allah hanya akan memberikan pertolongan dan kemenangan kepada orang-orang yang layak sahaja. Ertinya, kalau Islam tak menang-menang jugak di dunia pada hari ini, itu maksudnya kita yang memang belum layak untuk menang. Belum layak untuk dapat pertolongan Allah. Belum cukup beriman. Belum cukup berusaha. Belum cukup berjuang. Itu sifirnya. Kalau kita hanya mahu goyang kaki, relax selalu, main game, tengok cerita korea, afundi AF, dan tidak kisah serta tidak mahu fikir apa-apa hal Islam, usahlah mengimpikan ‘burung Ababil’ akan turun selamatkan kita.

.

kilatSaya memerhatikan ada satu penyakit yang dihidapi oleh sebahagian kawan-kawan seislam, iaitu suka tengok sesetengah negara kena bencana. Apabila menara WTC roboh pada 11 September, ada sesetengah umat Islam bergembira dan menyebut,
“Padan muka US! Jahat sangat.”

Mereka seolah-olah menunggu-nunggu Allah menurunkan keajaiban, mengirimkan malapetaka untuk menghancurkan pihak-pihak yang menjadi musuh Islam. Mereka mengharapkan tentera Israel mati dipanah petir di Palestin, atau taufan tornado tiba-tiba datang menghancurkan kereta kebal Amerika di Iraq. Mereka ini sayang Islam, menyesal dengan apa yang berlaku, memandang dengan kesedihan, tetapi tidak berbuat apa-apa, lantas berdoa, “Semoga Allah menurunkan kejadian luar biasa!”. Seolah-olah menginginkan ‘burung-burung Ababil’ turun sekali lagi.

.

Ketahuilah!
Burung-burung Ababil TIDAK akan turun. Penantian seperti itu adalah tidak berguna dan sia-sia! Usah bermimpi dan berangan. Pertolongan Allah tidak akan datang kecuali dengan usaha dan perjuangan. Kita dilanda masalah umat Islam keseluruhan yang dahsyat. Tidak ada jalan pintas menyelesaikannya. Tidak ada jalan mudah seperti rundingan apa-apa, atau berpilihanraya sahaja, atau menunggu keajaiban berlaku.

.

back2quranDiagnosis penyakit orang Islam hari ini adalah tidak faham Islam itu sendiri, tidak tahu ‘apa ertinya saya menganut Islam’, pemikiran sudah bercampur-aduk dan keliru. Maka ubatnya, satu-satunya solusi konkrit yang kita ada, ialah untuk membina semula jatidiri muslim itu. Segalanya mesti bermula dengan kembali memahami Islam, kembali mengamalkan Islam, jauhi dosa dan mementingkan ketaatan kepada Allah, oleh semua orang, tanpa mengira usia, lokasi, pangkat dan masa, dalam semua aspek hidup. Tanpa terkecuali. Usaha ini nampak kecil, tidak gempak, tetapi hakikatnya ia adalah nadi. Inilah titik mula perjuangan itu. The first and the most important step.

.

Kawan-kawan yang saya kasihi dan muliakan,
Dipersilakan memilih untuk menjadi Peserta atau Penonton dalam hal ini.
Kepada yang memilih menjadi peserta…
Selamat melangkah, jangan lemah semangat dan jangan berhenti. Sungguh, Allah tidak pernah memungkiri janjiNya :

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad:ayat 7)

.

.

 

(rujukan: Al-Quran, Riyadhus Solihin, Bukan Zaman Abrahah oleh Dr Raghib as-Sirjani)

Read Full Post »

words of wisdom

Sesungguhnya..
kebenaran TIDAK akan memimpin,  kebaikan TIDAK akan tersebar,  keadilan TIDAK akan tertegak,   panji-panji kemuliaan akan jatuh
dengan wujudnya

orang-orang yang menggadaikan prinsip demi keuntungan dunia
dan
orang-orang yang bersifat riya’
yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat, dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk.

.

Kebenaran, kebaikan, kemuliaan HANYA akan tertegak dengan …

orang-orang yang ikhlas,
yang berpegang teguh dengan prinsip,  
yang boleh mempengaruhi orang lain bukannya dipengaruhi.
Mereka adalah
orang-orang yang
berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukannya mengambil.

~ As-Syahid Imam Hassan Al-Banna

Read Full Post »

Undang-undang Ramadhan

Saya melangkah keluar dari gelanggang basketball itu usai solat terawih. Spontan, kepala mendongak ke langit untuk menikmati keindahan pemandangan malam. Bulan kelihatan besar, rendah, mengambang tiga suku penuh. Kerana malam ini rupanya sudah 22 Ramadhan. Pantas sungguh masa berlalu. Masa yang tidak pernah mahu berbincang dengan manusia. Masa yang taat kepada perintah Allah semata-mata, sentiasa saja berlari meninggalkan manusia yang termangu-mangu tidak tahu nilai hidup.

.

Maafkanlah kesunyian blog ini selama Ramadhan. Sukar untuk menjinakkan diri untuk menulis, kerana saya sudah menetapkan Undang-undang Ramadhan ke atas diri sendiri. Saya berniat untuk melapangkan waktu malam, berusaha untuk menghentikan semua aktiviti. Selepas berbuka puasa, selagi mana boleh, saya tidak mahu bertoleransi dengan apa-apa urusan.

Malam adalah special untuk beribadah.
Malam Ramadhan is… time dedicated for Allah.

.

10daysKita harus mengutamakan apa yang utama. Mungkin kita perlu mindset awal-awal apa yang kita inginkan, kerana kalau kita membiarkan saja jadual hidup kita dicorakkan oleh ‘kebetulan’, bimbangnya kita tidak akan sampai ke destinasi tujuan. Setiap bahtera mesti ada nakhoda dan kompasnya, bukan sekadar angin menentukan layarnya. Apatah lagi kini kita sudah melangkah ke 10 hari paling penting dalam bulan paling istimewa dalam setahun. Sesungguhnya sebaik saja Ramadhan bermula,  Imam Malik berhenti meriwayatkan hadith dan segala urusan pengajian lain, untuk duduk membaca Al-Quran. Mungkin kita tidak mampu untuk membekukan urusan seperti Imam Malik (kecualilah kalau kita ni Boss), namun, tetapkanlah kompas keutamaan yang jelas dalam jadual hidup kita 10 hari ini. Mana yang boleh tangguh, tangguhkanlah atau tinggalkan sekiranya tidak penting.

.

Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. :
“When the last 10 nights (of Ramadhan) would begin, the Prophet s.a.w. would stay awake at night (for prayer and devotion), awaken his family and prepare himself to be more diligent in worship.” (Bukhari & Muslim)

.

Ingin saya kongsikan, nasihat seorang kakak,
“Prestasi ibadah kita bulan di Ramadhan ini akan menentukan macam mana keadaan ibadah kita untuk 11 bulan lagi.”
Mungkin benar juga, seolah-olahnya Ramadhan ini seperti peperiksaan SPM, penting dan banyak peranannya dalam menentukan posisi kita selepas itu. Tentulah tidak secara mutlak, tetapi sahamnya besar juga.

.

Selamat beribadah. Selamat memburu Lailatul Qadr. Moga Allah terima amal kita dan menghadiahkannya dengan gelaran ibadah yang Ikhlas..

Read Full Post »

The Never-Ending Story

Malaysia Needs More Specialists
by Dr Ng Cheong Keat (malaysiakini.com)

I wish to voice my opinion that Public Services Department should stop sending students to European or American universities for medical courses. I understand that each of these students cost the government (taxpayers’ money) almost RM 1 million each. Currently, Malaysia has so many (almost 17) public or private medical schools. Thus, producing doctors with basic degrees is not really a problem. In fact, the current situation in Malaysia is ‘mass production’ of such doctors. Thus, there is actually no more need to send our student overseas to pursue medical courses…

,

and the story goes on and on…

Setiap tahun selepas keputusan SPM diumumkan, Malaysia tidak pernah sunyi dari perbincangan khas tentang pelajar-pelajar jurusan perubatan. Isu ini tentu akan naik semula setiap tahun. Sama seperti kad raya yang wajib laris bila tiba musimnya, walaupun ia adalah design tahun lepas. Sembang tentang kos, tentang tempat belajar, tentang kuota, tentang kelayakan, tentang keperluan negara, tentang tidak mengenang jasa dan macam-macam lagi. Mungkin kerana hangatnya isu ini, sepanjang saya di sini, memanglah tidak sunyi dari menerima kunjungan-kunjungan tetamu kehormat dari Malaysia ke universiti-universiti di rantau barat ini, disertai sesi dialog bersama pelajar. Antaranya Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Pengarah Kesihatan Malaysia, Dekan-dekan Fakulti-fakulti Perubatan Malaysia dan tidak ketinggalan, Tengku Mahkota Perlis!

.

Sebagai seorang pelajar perubatan yang mencecah 3 tahun tersadai di bumi Leprechaun ini, sekadar mampu memerhati dan membaca the never-ending story ini saban tahun. Saya tahu saya menghabiskan duit rakyat. Saya tahu peluang yang diberi kepada saya amat bermakna. Saya tahu seluruh negara mahukan saya pulang segera. Saya tahu masyarakat Malaysia di sana lah medan saya. Saya tahu nisbah pesakit:doktor malaysia. Saya tahu ganjaran dan cabaran yang menunggu saya di Malaysia. InsyaAllah saya maklum semua itu.

.

Ya, mendengar orang berbincang, bersembang, berbahas tentang kita; tekanannya hebat. Justeru adik-adik saya yang bakal kemari juga telah diasak oleh pelbagai pihak tentang kepentingan menumpukan seluruh tenaga & perhatian terhadap bidang perubatan ini dan pulang secepat mungkin, lantaran besarnya harapan dan keperluan negara terhadap intelek-intelek muda seperti kami.

 ,

Namun anehnya, semua tekanan itu tidak cukup untuk memenuhkan kepala otak saya dengan hal-hal perubatan sahaja. Fikiran saya tetap tidak dapat lari dari memikirkan soal krisis nilai dan krisis di mana letaknya agama yang saya cintai ini dalam hati masyarakat saya. Islam belum berada di tempat yang sepatutnya dalam masyarakat saya yang tercinta. Di mata saya, krisis ini lebih besar dari krisis kekurangan doktor dan ia juga adalah krisis yang mesti difikirkan dan diusahakan secara aktif untuk diselesaikan.

.

Saya tahu saya berkewajipan dan berperanan untuk menyelesaikan masalah kesihatan & masalah kekurangan doktor di Malaysia. Tapi saya merasakan kewajipan saya lebih lagi dari sekadar ini, maka saya mesti berfikir lebih lagi dari sekadar ini, sebabbukankah harapan negara pada saya lebih tinggi lagi sebab saya telah menghabiskan lebih banyak duit rakyat dengan belajar di sini, berbanding rakan-rakan seperjuangan di Malaysia? Jadi saya perlu berusaha membalas jasa ini dengan lebih lagi.

.

InsyaAllah, saya di sini bila tamat pengajian akan jadi Dr. Rakan-rakan saya yang belajar di Malaysia juga akan jadi Dr. Saya dapat ijazah, mereka juga dapat ijazah. Jikalau hasilnya sama saja, alangkah membazirnya menghabiskan RM 1 juta untuk saya! Dengan wang sebanyak itu, tentu banyak lagi cara lain ia boleh dimanfaatkan. Maka, pasti ada dalil yang lebih kuat yang menyebabkan kerajaan memilih jalan ini. Jadi apa sebenarnya yang kerajaan harapkan dari kami? Tentunya not just another doctor.

.

Jadi saya merasakan saya perlu membawa pulang sesuatu yang lebih dari sekadar ijazah kedoktoran. Pada hemat saya, statistik tentang
‘dalam ramai-ramai pesakit, ada berapa orang doktor’
itu penting, tapi statistik tentang
‘dalam ramai-ramai doktor, ada berapa orang doktor yang membawa risalah Islam’

itu JAUH LEBIH PENTING. Maka saya harus mencari Islam di sini. Saya mesti memburu dan mengaut setiap butiran hikmah dan mutiara-mutiara Islam di sini, serta di bumi mana saja yang Allah takdirkan kaki ini berpijak, kemudian membawanya pulang ke kampung halaman tercinta.

.

Sebab faktor utama untuk kita hidup sejahtera, maju dan terhormat ialah Islam.
Tanpanya, faktor-faktor lain akan hanya menjadi debu yang berterbangan.

Bukti? Amerika punyai banyak ilmuan, doktor & pakar kesihatan, sebut sahaja bidang apa, tapi formula itu nampaknya tidak berkesan dalam memastikan masyarakatnya hidup sejahtera. Amerika punyai crime rate paling tinggi di dunia!

.

Then there must be something missing. The puzzle is not complete. Scientific knowledge saja tidak dapat memastikan manusia hidup sejahtera. Saya yakin jawapannya adalah Islam. Dan insyaAllah inilah hadiah yang paling utama dan istimewa yang dapat saya bawa pulang untuk membalas segala pengorbanan dan jasa rakyat, untuk ummah yang tercinta, di samping ijazah kedoktoran. Biarlah saya yang menjadi serampang dua mata itu. Ya, menjadi seorang pembawa risalah Islam yang berkarier sebagai seorang Dr. InsyaAllah!

.

ar_rumaisa,
24 Rabi’ulAwwal 1427 H / 24 April 2006
– seorang Islam yang kebetulan Dr, bukan Dr yang kebetulan Islam –

Read Full Post »

Ramai orang tidak senang apabila ditimpa penyakit. Jiwanya gelisah. Jasadnya tidak selesa. Urusan hidupnya tergendala. Serba-serbi tidak kena, walaupun yang datang itu hanyalah sakit demam sahaja. Tidak dapat istirahat, susah untuk tidur, pening kepala, sukar bernafas dengan hidung yang tersumbat, tekak yang loya dan makanan terasa tidak ubah seperti sabun.

.

Ayuh muhasabah, macam mana perangai kita apabila sakit?

.

Adakah kita banyak meminta? Adakalanya sakit menjadikan seseorang itu sangat sensitif. Cepat terasa. Semuanya tidak memuaskan hati. Semua orang dirasakan seolah tidak memahami, tidak cukup menyayangi dan sering merasa terpinggir. Tiba-tiba saja menjadi seorang yang inginkan perhatian dan demanding.
“Aku kan sakit, kenapa tidak diziarah?”

.

chemotherapyBagi sesetengah yang lain pula, sakit menyebabkan dia mengeluh, mengerang dan komplen tanpa henti. Kita bagaimana? Kalau sakit, apa bait-bait kata yang keluar dari bibir kita? Emosi akan teruji, terutamanya jika merasa sudah berubat, melaksanakan everything medically possible, sudah mengikut setiap satu nasihat doktor, makan ubat tepat masa, berpantang makan, bahkan dirawat doktor pakar paling terkenal, menginap di hospital dengan teknologi terkini. Namun, sakit tidak juga berkurang, malah makin bertambah.
“Aku sudah makan ubat. Sudah ikut cakap doktor. Kenapa tak baik-baik??”
.

.

Lalu perasaan kecewa bertandang dan menebal. Ada di antara orang sakit yang mempersoalkan kepakaran doktor dan menyalahkan pihak-pihak yang merawatnya. Rupanya dia lupa, para doktor adalah manusia biasa, yang hanya dapat berusaha sama sepertinya, tidak mampu menjanjikan apa-apa. Yang dapat dilakukan adalah… berbekalkan pengetahuan dan pengalaman, doktor membuat siasatan tentang keadaan penyakit, kemudian berfikir untuk menyenaraikan pilihan yang ada, membuat keputusan bersama-sama pesakit tentang apa yang boleh dilakukan dan bertawakal untuk hasil yang diinginkan. Tidak lebih dari itu.

.

brokenbonesKetetapan Allah jualah yang menentukan kejayaan ubat atau pembedahan itu. Semuanya dalam Qudrat dan Iradat Allah. Allah yang mentadbir semuanya, termasuklah hal-hal yang berlaku di dalam badan kita. Jasad ini taat kepada arahan Tuhan yang menciptakannya. Yang selalu ingkar adalah ruh manusia. Sel-sel barah akan mengecil atau membesar mengikut apa yang Allah perintahkan kepadanya. Hanya dengan arahan Allah, tulang yang patah akan bercantum kembali seperti sediakala selepas dirapatkan dengan skru. Kita semua harus mengimani hakikat ini.

.

Adakalanya, lebih memburukkan keadaan lagi, terbit bibit-bibit perasaan kecewa dengan Tuhan. Naudzubillahi min dzalik!
“Kenapa aku?”
Ada yang merasa Allah tidak berlaku adil kepadanya. Sedangkan dia tidak merokok, dia menjaga makan dan senaman. Sesungguhnya syaitan telah berjaya menembusi benteng imannya. Merosakkan aqidahnya. Ruhnya turut jatuh sakit bersama-sama jasadnya, bahkan lebih tenat lagi. Iman melemah dan kian binasa. Ditambah lagi dengan kesediannya meringankan solat fardhu ketika itu, ada juga yang meninggalkan terus kerana sakit. Emosi dan iman kini hampir berada di garisan paling bawah, kerana tidak sedikit pun berusaha menyelami hikmah atas apa yang menimpa.

,

Bagaimana sebenarnya kita harus menghadapi bila sakit?

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Sebenarnya sakit itu hadiah dari Tuhan, yang mampu menjadi jambatan bagi kita untuk datang menghampiriNya. Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah seorang mukmin ditimpa sebuah kesedihan, nestapa, bencana, derita, penyakit, bahkan duri yang mengenainya, kecuali Allah, dengannya, akan mengampuni kesalahan-kesalahannya.”

Sakit itu buat penghapus dosa, buat mempermudah jalan kita ke syurga, buat meringankan beban kita di kehidupan sana. Jikalau Allah ingin menaikkan darjat hambaNya, yang tidak mampu dicapai oleh hamba itu dengan amalnya, maka Allah menghantarkan musibah dan derita, agar dengannya hamba itu dapat bersabar dan mencapai darjat iman yang lebih tinggi. Dia akan meraih pahala berdoa dan kebergantungan penuh kepada Allah, terutamanya ketika merasakan menemui jalan buntu dan tiada mana-mana manusia di dunia pun dapat membantunya.

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: ayat 155)

Tentu saja sabar itu bermaksud redha dengan apa yang dikehendaki Allah ke atas dirinya. Semoga kita dapat mencontohi iman dan kesabaran Nabi Ayub Alaihissalam apabila kita sakit, kita demam atau kita kemalangan. Bersihkan hati, bertenanglah dan bersabarlah. Allah sedang memberi kita ‘kelapangan’ untuk bertaubat, berfikir tentangNya dan berzikir mengingatiNya. Moga dipertemukan denganNya di alam abadi.

.

~ selalu rasa nak ajar Syahadah, sedih berdepan pesakit cancer yang tak kenal Tuhan

Read Full Post »

Older Posts »

Design a site like this with WordPress.com
Get started