Salam Ukhuwah…
Masih lagi suka untuk saya berbicara perihal anak-anak…
Kerana ia suatu harta yang tiada tandingnya untuk semua ibubapa di dunia ini, sebagai suatu talian hayat untuk ke akhirat. Memiliki zuriat itu suatu nikmat yang besar. Maka bercita-citalah untuk memberi didikan yang terbaik kepada amanah ini, mudah-mudahan mereka semua akan menjadi lebih hebat berbanding apa yang kita miliki hari ini, tentunya kehebatan dalam ilmu Islam.
Islam sendiri sangat menekankan tentang keperluan membuat pencarian terbaik dalam memilih pasangan sebelum melangkah ke alam berumahtangga. Institusi perkahwinan adalah awalan terbaik dalam membangunkan sebuah keluarga. Bertitik tolak dari suami isteri yang baik, insyaAllah zuriat yang diamanahkan itu mampu dijaga sejak daripada kecil sehinggalah dewasa, mengikut tuntutan syarak agar mencapai keredhaan Allah dan Rasul.
Perlu ditegaskan bahawa zuriat itu adalah suatu amanah yang tiada perinya. Sayangi anak-anak kita dan sayangilah juga masa depan mereka.
Memiliki zuriat mengajar kita menjadi seorang manusia yang amanah, mendidik ibubapa dalam menjaga amanah besar yang diuji langsung daripada Allah, baik dari segi kesusahan, dan kepayahan dalam membesarkan anak-anak ini. Jika kita berilmu dalam memberi didikan, insyaAllah hasilnya juga adalah baik. Ibubapa harus sentiasa bersedia membuka jalan untuk anak-anak ini meneroka minda mereka, ke arah menjadi manusia hebat dan bermaruah dalam setiap langkah mereka dikemudian hari.
Mereka memberikan kita kekuatan, kecekalan, dan merupakan generasi yang boleh mencipta sesuatu yang lebih baik kepada Islam. Itulah impian tinggi setiap ibubapa, maka jangan hanya tinggal impian, jadikanlah itu satu kenyataan! Kitalah yang bertanggungjawab dalam merealisasikan impian besar itu.
Maka, setiap ibubapa perlu beriltizam untuk membina generasi terbaik dalam mendidik anak-anak. Biar mereka menjadi bayi yang disayangi ramai, kanak-kanak yang riang gembira bak kenangan Lasykar Pelangi, remaja yang beradab dan berakhlak mulia, seorang dewasa yang matang dan bermaruah, seterusnya giliran mereka pula membina generasi baru yang unggul.
Jadikanlah anak-anak kita ‘eksperimen’ untuk dijadikan contoh kepada masyarakat dalam melahirkan generasi baru yang lebih bermaruah dan berjaya kehidupan mereka di dunia, tanpa mengabaikan kepentingan ilmu akhirat.
Ibubapa
Betapa peritnya seorang ibu bertarung nyawa melahirkan seorang zuriat, betapa sabarnya seorang ayah membanting tulang mencari rezeki, itulah suatu bentuk tarbiah dan didikan yang sempurna daripada Allah untuk mengajar hamba-hambanya menghargai jasa dan pengorbanan besar ibubapa mereka, yang mana kesinambungan pengajaran ini akan berterusan kepada anak-anak, cucu-cucu, dan seterusnya.
Bertuah jika anda seorang ibu yang mampu memberi minum kepada bayi susu anugerah langsung daripada Allah. Dalam dakapan kasih seorang ibu, bayi anda akan berasa selamat dan damai hidupnya. Dia terkulai manja di bawah sinar redup pandangan bondanya. InsyaAllah sedarnya nanti, dia tetap mencari kehangatan kasih ibu sehingga kehujung usia.
Berkat susu anugerah Allah ini, mudah-mudahan menjadi darah daging yang mampu melembutkan jiwa anak-anak dalam menerima setiap didikan yang sempurna daripada ibubapa. Selain azan dan iqamah diperdengarkan kepada bayi, seawal bacaan Basmalah setiap kali disuakan susu, mudah-mudahan doa itu menjadi ubat untuknya, jua diberkati kehidupannya sentiasa.
Menjadi ibubapa terbaik untuk anak-anak bukanlah perkara yang mudah. Ia suatu tugasan yang berat, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang sinonim dalam memahami perkembangan semasa anak-anak ini. Ibu tentunya lebih faham karenah anak-anak kerana keakraban mereka sejak dari dalam kandungan lagi. Andai baik laku seorang ibu semasa mengandung, insyaAllah baik jugalah nanti zuriat yang dikurniakan Allah itu. Adapun sebaliknya, maka jangan pula menyesali diri. Gunapakai masa yang masih panjang selepas itu untuk memberikan ilmu terbaik kepada mereka, mudah-mudahan dengan doa yang berpanjangan ada rezekinya nanti.
Sungguh menjadi kewajipan bagi setiap ibubapa memberi didikan sehabis baik kepada anak-anak, kerana mereka ini ‘datangnya’ dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu yang mana baik, yang mana buruk. Akal kecil mereka belum cukup elok untuk memikirkan bagaimana mahu menjadi hamba Allah yang sempurna. Pada setiap saat mereka amat perlu kepada tunjuk ajar daripada ibubapa yang berilmu.
Teras utama dalam melahirkan insan yang berjiwa besar ini adalah kekuatan ibubapa. Fitrah semua manusia mahu disayangi dan dihormati. Maka teruskan suasana saling menyayangi dan saling menghormati di kalangan ahli keluarga, seterusnya kepada masyarakat.
Tanggungjawab ibubapa bukan sekadar memberi makan, minum, pakai, dan apa jua perkara asas, tetapi ia lebih dari itu, tentunya ia melibatkan pendidikan yang berkaitan dengan perkembangan mental, rohani dan jasmani anak-anak.
Tentunya semua ibubapa tidak mahu melihat anak yang disayangi tiba-tiba bertukar watak kepada seorang yang keras kepala, kurang adab, pemalas, dan apa jua sifat yang buruk, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini pengaruh dadah sintetik merupakan suatu ancaman baru kepada masyarakat, yang mula berleluasa seawal umur sekolah rendah, selepas rokok menghantui kehidupan anak-anak ini. Tidak kurang juga di bandar-bandar tumpuan, minuman keras juga menjadi menu dalam kehidupan anak-anak muda kita hari ini ketika bersosial. Kebejatan ini tidak pernah mengenal jantina, lantas merebak pula kepada kes-kes zina, yang tiada berhenti di situ, malah ia menular kepada kes buang bayi merata-rata pula yang boleh dikatakan meningkat bilangannya saban tahun.
Takut bukan jika anak-anak yang terkena virus sosial itu adalah anak-anak kita? Jauhkanlah ya Allah…Tiada ibubapa yang sanggup melihat anak-anak yang disayangi sedari kecil bertukar menjadi manusia yang bertopengkan syaitan ini.
Apa boleh dipakai lagi istilah ‘bukan salah ibu mengandung’? Jika anak-anak sedari umur sekolah rendah telah menunjukkan kebiadaban dalam kehidupan mereka, saya percaya bahawa istilah di atas sudah tidak berguna lagi. Anak-anak kecil yang masih belum aqil baligh, sehingga dewasa sekalipun, perlu pemantauan sempurna daripada ibubapa. Kebebasan yang tiada batasnya boleh merencatkan pekembangan anak-anak untuk membesar sebagai manusia yang berguna, baik kepada agama, bangsa dan negara.
Mendidik anak-anak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ganjarannya nanti insyaAllah sangat berbaloi, baik di dunia mahupun akhirat, andainya anak-anak itu terdidik seeloknya.
Skop mendidik itu banyak cabangnya. Namun sesuaikanlah dengan usia anak-anak, begitu juga dengan persekitaran, serta peredaran waktu yang memungkinkan cabaran itu makin mengganas. Anak-anak kecil ini akan terbina jiwanya mengikut acuan yang diberi oleh ibubapa. Mungkin ia akan kekal sebegitu hingga ke akhir hayatnya, ataupun ada perubahan yang mungkin berlaku apabila tiba masanya mereka bersosial kelak. Perhatikan kepada kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak ini.
Kehidupan ibubapa seharian adalah didikan langsung kepada tumbesaran anak-anak. Jika ibubapa itu minatnya membaca, saya percaya tabiat itu mampu menurun kepada anak-anak mereka. Begitu juga jika ibubapa itu adalah perokok, usah bimbang jika suatu hari nanti rokok itu menjadi ‘wasiat’ kepada anak-anak kelak. Jika pula ibubapa itu suka bersosial sehingga lupa kubur, maka kita doakan saja semoga ada anak-anak yang mampu membaca sekurang-kurangnya Yasiin diambang maut mereka.
Jadikan mereka anak-anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibubapa, baik ketika kita masih ada di dunia fana ini, mahupun yang telah menghadap Ilahi. Didiklah anak-anak sehingga mereka mampu menjadi penyelamat kepada setiap ibubapa yang telah kembali ke Rahmatullah.
Kerisauan sentiasa menghantui setiap ibubapa apabila anak-anak mula melangkah ke dunia yang sebenar. Paling ditakuti adalah apabila mereka mula memiliki kawan-kawan yang bermasalah.
Pengaruh kawan-kawan ini adalah sangat hebat. Jikapun mereka telah menerima ilmu yang sepatutnya di rumah, namun jiwa yang sedang galak itu mungkin boleh membinasakan masa depan mereka. Mungkin di rumah mereka boleh menjadi baik, tetapi siapa tahu jika mereka tiba-tiba saja boleh bertukar menjadi rakus menghambat keseronokan dunia yang tumbuh melata. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah berani memijak tempat-tempat yang tidak sepatutnya, rakus menyentuh makanan minuman yang haram menjadi darah daging, melonjak kealpaan dengan pelbagai kemaksiatan,…aduhai…mereka sudah jauh terjebak dalam dunia yang penuh nafsu syaitan ini.
Jika diperhatikan masih banyak ibubapa yang leka dan lalai dalam memberi didikan sempurna kepada jiwa anak-anak. Jawapannya mudah, pelbagai anasir luar mudah merebak kepada jiwa anak-anak ini. Samada lelaki mahupun perempuan, seawal usia mereka sudah menjadi samseng, berbudaya gotik – yang saya yakini mereka sendiri tiada tahu apa maknanya tentang budaya itu -, berpeleseran tanpa had waktu, sungguh memualkan mata yang memandang, dan apa saja yang sememangnya diluar jangkaan minda kita ini. Ia tentunya suatu musibah yang besar diatas kealpaan ibubapa dalam menjaga amanah Allah ini.
Andai kita ibubapa yang kurang agamanya, jangan sesekali biarkan anak-anak kita menjadi sebagaimana kita. Beri mereka peluang seluas-luasnya untuk meneroka bidang agama. Jadikan mereka pembimbing kita dihari tua nanti. Hormati juga guru-guru yang memberi ilmu kepada anak-anak ini.
Pendidikan
Saya masih mahu melihat sistem pendidikan formal di Malaysia akan lebih terbuka kepada aspek penekanan dalam beragama. Tentunya guru-guru – dalam pelbagai bidang ilmu sekalipun – masih lagi mendapat perhatian yang baik daripada murid-murid hari ini, maka gunapakailah kesempatan yang ada untuk para pendidik mengambil peluang ketika bersama, menyuntik sesuatu ilmu keagamaan kepada jiwa pelajar-pelajar, sehingga mereka merasa terkesan dalam ilmu yang mereka peroleh. Baik dalam menyentuh soal adab dan akhlak, sehinggalah kepada pahala dan dosa, syurga dan neraka. Maka tentunya gandingan ibubapa dan guru menjadi penyelamat kepada generasi hari ini untuk membesar sebagai manusia yang hidup semata-mata bertunjangkan Islam.
Asasnya, adalah sangat perlu kurikulum pendidikan di negara kita, baik di sekolah rendah mahupun menengah sehinggalah ke universiti, lebih menekankan kepada pengajaran Islam yang turut mengambil kira sistem pengajaran ‘beragama’ yang memerlukan pelajar mendalami al-Quran, Hadis, Tauhid, Feqah, Sirah, dan ilmu-ilmu berkaitan yang menggunapakai prinsip-prinsip pendidikan yang diasaskan atas dasar dakwah Islamiah. Kurikulum ini perlulah sentiasa segar dan disesuaikan dari semasa ke semasa.
Untuk mendapat impak yang hebat, tentunya penyampaian ilmu agama ini perlu melalui tutur bicara yang indah dan naratif bagi mendekatkan pelajar kepada rasa cinta dalam beragama.
Mendidik juga perlu berlembut, namun ada ketegasan yang tersirat. Pelajar-pelajar perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing agar jalan hidup mereka tidak tersilap.
Jangan biarkan pelajar-pelajar yang suci ini terbiasa dengan dunia sekular yang masih wujud di negara kita. Jika terlalai maka runtuhlah jatidiri mereka, dimana kita akan melihat satu generasi baru yang sungguh lemah, longlai dan rosak masa depan mereka.
Terima kasih juga kepada guru-guru yang mengajar agama kepada anak-anak kita. Mudah-mudahan atas keprihatinan guru-guru ini mampu menyelamatkan anak-anak kita di luar sana.
Namun ibubapa tetap penggerak utama. Guru hanya membantu sewajarnya.
Ilmu Islam itu sendiri banyak cabangnya. Carilah ilmu itu dimana jua, bukan sahaja untuk anak-anak, namun untuk ibubapa juga, bukan hanya untuk rakyat, tapi untuk pemimpin juga. InsyaAllah dengan punya pemimpin yang berilmu dalam sebuah rumahtangga mahupun Kerajaan yang besar, maka akan sejahteralah rakyat dibawah naungannya.
Tanggungjawab
Selain menekankan kepada aspek akademik anak-anak, ibubapa jangan sesekali lupa kepada tanggungjawab sendiri dalam memberikan ilmu agama yang terbaik kepada mereka. Buat yang terbaik dalam mentarbiah anak-anak untuk solat lima waktu yang wajib itu, berpuasa, mengaji al-Quran, dan banyak lagi amalan yang lain. Bagaimana pendekatan mahu diambil, itu terpulanglah kepada gaya anda untuk memahami perilaku anak-anak.
Jangan hanya terhibur dengan kebijaksanaan anak-anak di sekolah, namun damaikan hati kita semua sebagai ibubapa dengan melihat betapa cergasnya anak-anak kita bangun untuk berjamaah apabila azan berkumandangan, apabila mereka yang sibuk berpesan supaya mengejutkan dari tidur untuk bangun sahur, apabila mereka sudah hampir khatam al-Quran diusia mentah, dan banyak lagi adegan yang boleh menyejukkan hati ibubapa yang melahirkan mereka.
Saya percaya bahawa tempoh waktu yang paling kritikal dalam kehidupan seorang manusia adalah diusia remajanya. Anak-anak usia sebegini sewajarnya telah dipenuhi jiwa mereka dengan sifat Muslim yang telah taat kepada perintah Allah, terutamanya dalam menunaikan kefardhuan solat lima waktu.
Anda tahu betapa ramai dikalangan pelajar di bandar-bandar utama tidak solat Subuh kerana bergegas menunggu bas sekolah? Sedih bukan kerana dunia ini mengejar waktu penghuninya sehingga mampu mengabaikan kepentingan untuk tunduk kepada Maha Pencipta. Sepatutnya setiap daripada kita maklumi bahawa kejayaan dalam akademik itu seharusnya seiring antara hubungan hamba dengan Penciptanya.
Ajarlah anak-anak bersolat seawal usia tujuh tahun. Sehingga umur 10 tahun, jika anak-anak masih liat untuk menunaikan solat fardhu lima waktu ini, ibubapa punya hak untuk memukul anak-anak ini. Ajaran Islam itu sangat syumul. Sehingga mereka aqil baligh, insyaAllah jiwa mereka makin kuat untuk mendepani cabaran semasa.
Dalam situasi hari ini, saya terfikir siapakah sebenarnya yang mengajar anak-anak kita solat? Apakah ibubapa serius mengambil peranan ini, atau tanggungjawab ini diserahkan kepada guru dalam sesi kelas Fardhu Ain?
Tidak sukar untuk mendidik anak-anak solat. Paling senang apabila ibu mahupun bapa yang mengimami sendiri solat itu.
Jadualkan kehidupan mereka. Bila masa perlu tidur, ada waktunya untuk solat, bersenggang santai untuk apa jua aktiviti berfaedah, mudah-mudahan mereka terdidik dalam kehidupan yang lebih teratur.
Susahnya jika ibubapa sendiri yang tidak menitikberatkan perihal solat.
Mendidik anak mengerjakan solat perlu ada ketegasan. Ibubapa yang perlu terlebih dahulu berdisiplin dalam menunaikan ibadat solat, insyaAllah anak-anak akan patuh pada setiap disiplin yang diperkenalkan, bilamana mereka sendiri melihat kita bergegas melaksanakan disiplin itu. Maka jadilah teladan yang baik kepada anak-anak, terutamanya dalam perihal solat.
Jangan sewenang mengajar anak itu dan ini, tapi kita masih juga ditakuk yang lama. Lebih teruk jika solat anak-anak itu adalah lebih baik daripada ibubapanya sendiri.
Inilah dia tanggungjawab besar ibubapa yang melahirkan amanah Allah ini. Jangan hanya pandai melahirkan, tetapi tiada ‘talinya’ untuk ‘mengikat’ langkah anak-anak itu. Kebebasan itu perlu, jangan terlalu mengongkong, namun kebebasan yang diberi itu mesti ada disiplinnya. Mesti ditentukan syarat-syarat yang munasabah kepada anak-anak. Paling penting, sejauh mana melangkah, lekatkan di jiwa anak-anak bahawa Allah itu sedang memerhati.
Fikirkanlah bahawa didikan Islam itu sewajibnya bermula dari rumah. Jangan sesekali biarkan anak-anak yang lahirnya suci bersih ini menjadi syaitan yang bertopengkan manusia.
Dalam mendidik juga jangan terlalu memaksa anak-anak, walaupun ibubapa sebenarnya berniat baik. Sesuaikan dengan peringkat umur mereka, hak pada setiap umur untuk mereka hidup dalam keadaan terkawal emosinya. Apabila mereka sudah cukup kuat untuk suatu tanggungjawab, maka berilah bebanan yang sesuai dengan emosi mereka.
Cabaran
Rasanya tiada yang lebih mencabar dalam dunia ini melainkan membesarkan anak-anak sehingga betul-betul menjadi. Namun, jika berpandukan didikan Islam, insyaAllah kita sudah ada petunjuk cara yang terbaik. Kita punya banyak pengkisahan tentang kejayaan cemerlang ummat terdahulu, mahupun kini, yang memungkinkan kita mengambil iktibar bagaimana ibubapa terdahulu mampu melahirkan pejuang-pejuang Islam yang hebat. Pedulikan cara mereka mendidik, gunapakai yang terbaik daripada mereka. Jika mungkin tidak bersesuaian kerana perubahan zaman, maka perlu kita sesuaikan dengan cara tersendiri, asalkan tidak sesekali tergelincir ke jalan yang boleh membinasakan masa depan anak-anak kita sendiri.
Saya yang masih punya anak kecil masih belum ketahuan cabaran membesar anak-anak remaja. Namun hati ini tetap ada gusarnya. Besar harapan saya agar pihak berwajib membuka mata seluasnya mencari alternatif untuk menyelamatkan generasi kanak-kanak hari ini, dari terus menjadi mangsa kepada kancah sosial yang berterusan teruk dari semasa ke semasa.
Jangan mudah terpesong dengan ilmu didikan pembangunan insan dari barat yang kononya kelihatan urban itu. Mungkin bergaya pada hiasan dunia, namun tiada bekalnya untuk dibawa ke akhirat nanti.
Jangan sesekali berlepas tangan dalam membangunkan jiwa anak-anak. Mereka ini fragile. Jika hari ini mereka kelihatan tewas, teruskan motivasi menyelamatkan kehidupan mereka. Anak-anak ini sebenarnya sangat memerlukan kekuatan dan sokongan daripada ibubapa. Jangan sesekali ibubapa mengkritik keras sekiranya wujud perselisihan pendapat. Kritikan itu mampu membunuh jiwa mereka secara senyap.
Tanamkan semangat bahawa anak-anak kita adalah bakal pejuang dalam mewarisi kepimpinan yang baik pada hari ini.
Hamba
Setiap manusia itu adalah hamba kepada Allah. Maka sedari kecil lagi tanamkan kepada jiwa anak-anak ini rasa cinta dan pengabdian diri kepada Maha Pencipta mereka. Berikan kebebasan yang sepatutnya untuk mereka bereksperi diri di muka bumi Allah ini, mudah-mudahan akan ditemukan dengan makna sebenar sebuah pencarian menuju ke Syurga yang abadi.
Alunkan zikir sebagai penenang hati.
Jangan biarkan anak-anak ini syirik perbuatan mereka kepada Allah.
Dunia ini penuh daya tarikan yang luar biasa. Jiwa yang lemah mampu terkulai dalam fitnah dunia.
Apabila saya berbicara perihal mendidik anak-anak, tidaklah bermakna saya telah berjaya menjadi seorang ibu yang baik. Saya cuba mengajak semua merenung kembali peranan besar kita sebagai ibubapa dalam membekalkan anak-anak sebagai pejuang Islam dalam kesinambungan pimpinan yang ada pada hari ini.
Anak-anak yang masih suci itu insyaAllah senang patuh kepada semua ajaran.
Salahkan diri sendiri jika anak-anak kita tidak menjadi. Seterusnya, mungkin Kerajaan yang patut benar mengubah sistem pendidikan mereka kepada yang lebih Islamik. Kita sebagai rakyat ada hak untuk meminta Kerajaan lebih prihatin kepada masalah sosial yang makin tenat, yang mampu memupuskan dan menjahanamkan jatidiri Muslim pada anak-anak kita.
Tiada yang lebih merosakkan anak-anak kita melainkan kelalaian kita sendiri. Iringilah doa semoga kita mampu menjadi ibubapa yang terbaik kepada anak-anak kita ini.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
If children live with criticism, they learn to condemn.
If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with ridicule, they learn to be shy.
If children live with shame, they learn to feel guilty.
If children live with encouragement, they learn confidence.
If children live with tolerance, they learn to be patient.
If children live with praise, they learn to appreciate.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with approval, they learn to like themselves.
If children live with honesty, they learn truthfulness.
If children live with security, they learn to have faith in themselves and others.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.
By; Dorothy Law Nolte
11.10am
Filed under: Minda | 18 Comments »